KENINGAU: Sambutan Hari Ibu merupakan wadah terbaik bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan ibu selama ini yang disifatkan sebagai tidak terbalas meskipun dengan wang ringgit.
Menyedari kemurniaan sambutan itu,
Datin Maria C. Omamalin – isteri kepada Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin beserta wiranita DUN Sook mengambil inisiatif untuk mengadakan sambutan Hari Ibu di Kampung Biah Tengah pada Jumaat.
“Meskipun hari ibu diraikan pada 8 Mei 2022, baru hari ini kita berkesempatan untuk merayakan Hari Ibu bersama-sama dengan kaum Ibu di DUN Sook,” katanya.
Datin Maria berkata demikian dalam ucapannya sempena sambutan Hari Ibu di Kampung Biah Tengah.
“Sambutan Hari Ibu amat penting dirayakan meskipun kebanyakan daripada kita tidak merayakannya.
“Kaum ibu memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah masyarakat, peranan mereka ini wajar dihargai dan majlis hari inilah salah satu bentuk penghargaan untuk kaum ibu,” tambah Datin Maria.
Sambutan tersebut dihadiri seramai 33 orang kaum ibu dari beberapa kampung terdekat di sekitar kawasan DUN Sook.
Turut hadir memeriahkan sambutan itu ialah Datuk Ellron Angin selaku ADUN Sook, Exco Wiranita Star Sabah Rashna Angin, Pemangku Wiranita Star Sabah Sook Mariam Sakai serta beberapa pemimpin masyarakat.