Usaha untuk iktiraf potensi hab SBCP mesti dipercepat – Dr. Joachim
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) menyokong penuh usaha menjadikan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP) sebagai hab transhipment bagi negara-negara Kawasan Pembangunan ASEAN Timur (BIMP-EAGA).
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, ini kerana ia akan menjadi elemen utama ke arah memangkin aktiviti perindustrian di negeri ini.
“Pihak Kementerian juga menyokong usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Sabah Ports Sdn. Bhd. terutamanya kemajuan pembesaran SBCP.
“Oleh yang demikian, usaha bagi mengiktiraf potensi hab SBCP mesti dipercepatkan sebagai satu cara untuk menangani kos tinggi logistik yang telah lama melanda Sabah.
“Saya berharap SBCP akan menjadi game changer yang akan membawa kepada kos logistik yang lebih rendah dan meningkatkan lagi daya saing negeri,” katanya semasa melakukan kunjungan kerja ke Wisma Sabah Ports di sini hari ini.
Dr. Joachim berkata, sesebuah pelabuhan itu amatlah penting bagi menyokong dan memudahkan MID dalam mewujudkan iklim ekonomi kondusif untuk pelabur asing dan domestik.
Pelaburan besar oleh perniagaan-perniagaan asing adalah bukti bahawa Sabah sememangnya berpotensi untuk menjadi sebuah pusat aktiviti pembuatan dan perindustrian, tambahnya.
“Kami menantikan pembesaran SBCP yang telah dikenal pasti sebagai teras utama untuk menggiatkan semula aktiviti perindustrian bagi Negeri dan menjadi pendorong kepada pertumbuhan ekonomi.
“Saya berharap SPSB akan terus mempertingkatkan keupayaan pelabuhan secara konsisten serta menyokong pembangunan logistik yang lebih besar,” katanya, sambil menambah MID menawarkan bantuannya dan mengalu-alukan inisiatif SPSB yang akan memberi manfaat kepada negeri dan industri logistik secara keseluruhan.