KOTA KINABALU: Semua bazaar Ramadan di Sabah dibenarkan menguatkuasakan prosedur amalan standard (SOP) masing-masing dalam usaha menangani penularan Covid-19.
Oleh itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Masidi Manjun
berkata adalah menjadi tanggungjawab masyarakat khususnya pengunjung mematuhi SOP yang dikuatkuasakan itu.
“Pada akhirnya yang menentukan jayanya atau gagal usaha kira mengawal penularan Covid-19 ialah kita sendiri iaitu masyarakat,” katanya.
Masidi berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Zakat anjuran Kumpulan Qhazanah Sabah di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah di sini pada Sabtu.
Kumpulan Qhazanah Sabah turut meraikan anak-anak yatim dari Tuaran.
Sehubungan itu, Masidi menasihatkan masyarakat agar terus memainkan peranan dengan mematuhi SOP sebagai sumbangan mereka menjayakan misi untuk melawan Covid-19.
“Kalau dilihat di gambar, kumpulan orang ramai yang mengunjungi bazaar ini agak besar tetapi saya mengandaikan pihak berkuasa tempatan masih dapat mengawal keadaan,” katanya.