Doa tanpa usaha, sia-sia: graduan kelas pertama UMS

Oleh: Sharmiera Mazlan, Pelajar Komunikasi UMS

Advertisements

KOTA KINABALU: Doa tanpa disusuli usaha adalah sia-sia, kata graduan Kelas Pertama Ijazah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nurul Nabilah Fazeera Nordin.

Beliau yang mengambil Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Bioteknologi), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) berkata, dua perkara tersebut menjadi kunci kejayaannya sehingga meraih himpunan purata nilai gred (CGPA) 3.85.

“Kedua-duanya sangat perlu jika kita ingin berjaya dalam pelajaran. Selain terus berdoa, saya berusaha dengan gigih bagi memperoleh pencapaian akademik yang memberangsangkan.

“Selain itu, kita mestilah selalu berkongsi ilmu dengan rakan-rakan dan saling tolong menolong antara satu sama lain, barulah ilmu bertambah berkat,” katanya.

Nurul berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UMS ke-22, di sini.

Pada masa yang sama, beliau turut menggalakkan para pelajar untuk menikmati sepenuhnya kehidupan dalam kampus.

“Penglibatan dalam akademik dan kokurikulum perlu seimbang.

“Bagi saya 70 peratus tumpuan adalah kepada akademik, manakala 30 peratus untuk bidang kokurikulum.

“Saya juga memegang beberapa jawatan dalam kelab dan persatuan semasa menuntut di UMS.

“Namun kenangan yang paling tidak dapat dilupakan ialah saya dikelilingi oleh rakan-rakan yang baik dan peramah di sini,” katanya yang berasal dari Selangor.

Beliau turut mengongsikan keterujaannya menghadiri Majlis Konvokesyen yang tertangguh dua tahun akibat pandemik.

“Saya berasa sangat gembira dan teruja kerana penantian saya selama dua tahun untuk datang ke majlis konvokesyen akhirnya tercapai juga.

“Penantian ini tidak sia-sia, saya datang dari jauh bersama semua ahli keluarga saya,” ujar Nurul.

Anak kedua dari empat adik beradik itu kini bekerja di bawah syarikat ayahnya.

“Walau bagaimanapun, saya tetap bercita-cita untuk berkerja di dalam bidang yang berkaitan pengajian saya (bioteknologi) jika mendapat peluang pada masa akan datang,” katanya.

Previous article
Next article

Related Articles

253FansLike

Latest Articles