Oleh Joanes Robert Johnny
KOTA KINABALU: Pengorbanan petugas barisan hadapan tidak ternilai jika dibandingkan dengan sumbangan diberi oleh kerajaan, badan korporat mahu pun badan bukan kerajaan (NGO).
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, sumbangan KPLBS menerusi kerjasama dengan syarikat Kim Teck Cheong selama ini sememangnya tidak berbaloi dengan apa yang telah dilakukan anggota JBPM selama 24 jam bagi membantu dalam usaha membendung penularan Pandemik Covid-19.
“Apalah sangat yang kita sumbangkan hari ini berbanding pengorbanan dan risiko yang terpaksa dihadapi oleh frontliners,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan bantuan bun daripada syarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) kepada Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah di Sembulan, dekat sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Dexter Lau, Setiausaha Politik KPLBS, Jilias Lintar dan Setiausaha PIBG SMK Sanzac, Mohd Othman Yunus.
Katanya, bagaimanapun sekurang-kurangnya usaha sedemikian menjadi pengiktirafan dan penghormatan mereka terhadap pengorbanan petugas barisan hadapan itu.
“Setidak-tidaknya para petugas itu merasakan bahawa usaha mereka dihargai,” katanya.
Menurut Jahid, JBPM bukan sahaja banyak membantu rakyat seperti membuat sanitasi kepada semua tempat tetapi juga membantu mengangkut rakyat ke pusat perpindahan sementara dalam pelbagai keadaan yang berbeza,” katanya.
Beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli menghargai usaha semua pihak sama ada individu perseorangan, badan korporat melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), dan NGO yang mempunyai kesanggupan menghulurkan bantuan kepada wira-wira tersebut merentas pelbagai lapisan masyarakat demi kepentingan negara.
Selepas program di JBPM Kota Kinabalu tadi, Jahid turut menyampaikan sumbangan sama kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanzac, Kota Kinabalu di perkarangan hadapan KPLBS.
Jahid turut menyeru kepada golongan pendidik agar sentiasa siap sedia dengan budaya pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.Â
Beliau juga mengharapkan agar trend penurunan kes positif Covid-19 akan dapat diteruskan agar negeri ini dapat menjadi contoh dari segi pematuhan SOP kelak.
Sebanyak 10 ribu telah diserahkan kepada JBPM untuk diagih-agihkan ke balai bomba di seluruh daerah manakala 1200 disumbangkan kepada SMK Sanzac.
Sumbangan kepada JBPM diterima oleh Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah manakala untuk SMK Sanzac telah diwakili oleh Yang Dipertua Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG), Tn Hj Janis Abdullah.