KOTA KINABALU: Sabah merekodkan kes harian Covid-19 melepasi paras 3,000 dengan 3,333 kes, iaitu angka kedua tertinggi pernah dicatatkan di negeri ini sejak 12 Mac 2020.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Masidi Manjun
berkata jumlah peningkatan hari ini ialah sebanyak 1,264 kes berbanding catatan pada Selasa,
“Seluruh daerah di Negeri Sabah mencatatkan jangkitan baharu hari ini,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Beliau berkata 10 daerah mencatatkan kes tiga angka iaitu Kota Kinabalu 591 kes (+196), Sandakan 510 kes (+243), Penampang 324 kes (+163), Tuaran 266 kes (+74), Papar 224 kes (+63), Ranau 196 kes (+114), Tawau 191 kes (+78), Lahad Datu 169 kes (+32), Beaufort 116 kes (+42) dan Kota Marudu 102 kes (+54).
Sejumlah 15 daerah mencatatkan kes dua angka dan dua daerah mencatatkan kes satu angka, katanya.
“Angka perbandingan kes daerah-daerah di Negeri Sabah berbanding semalam juga menunjukkan beberapa daerah merekodkan pertambahan sehingga dua kali ganda, bahkan ada daerah yang mencatatkan peningkatan hingga empat kali ganda.
“Hanya enam daerah yang merekodkan penurunan kes namun masih mencatatkan angka yang tinggi kecuali daerah Kalabakan,” katanya.
Masidi berkata jumlah kes melalui saringan bergejala yang sinonim dengan jangkitan sporadik amat tinggi, iaitu 1,724, hampir 52% daripada jumlah keseluruhan kes baharu hari ini.*
“Sejumlah 185 kes baharu berpunca daripada 30 kluster yang masih aktif dengan 22 daripada kluster ini merupakan kluster institusi pendidikan. Hari ini, tiga lagi kluster baharu pendidikan diisytiharkan di Beluran, Keningau dan Kinabatangan.
“Kluster Access Menawo di daerah Keningau melibatkan pelajar asrama Institut Pelajaran dan Dakwah Islam Sabah (IPDAS) Keningau.
“Indeks kes adalah seorang pelajar perempuan berumur 21 tahun di institusi berkenaan. Indeks kes mula bergejala pada 6/2/2022. Saringan dijalankan pada hari yang sama dan didapati positif. Saringan terhadap kontak rapat di asrama yang sama mendapati 11 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif seramai 12 orang.
“Di Beluran, Kluster Simpangan Paitan dikesan berlaku di SMK Simpangan Paitan. Indeks kes adalah seorang pelajar perempuan yang tinggal di asrama SMK Simpangan mula mengalami simptom selesma, batuk dan sakit tekak sejak 4/2/2022.
“Pelajar tersebut disaring pada 6/2/2022 dan didapati positif. Saringan terhadap kontak rapat di asrama yang sama mendapati 22 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif seramai 23 orang. Semua kes dikategorikan dalam 1 & 2 (gejala ringan), telah diasingkan dan diberi rawatan yang sesuai,” katanya.
Menurut Masidi, kluster ketiga yang diisytiharkan hari ini ialah Kluster Bukit Garam di Kinabatangan dan melibatkan SMK Bukit Garam 1.