PETRA diminta tangani isu banjir, hakisan dan elektrik

KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) diminta menangani isu banjir, hakisan sungai dan bekalan elektrik yang membelenggu penduduk di kawasan Sipitang dan Beaufort sejak sekian lama.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata tiga isu kritikal itu perlu langkah penyelesaian secara tuntas dan menyeluruh.

Sehubungan itu, beliau meminta PETRA mempertimbangkan peruntukan khas bagi melaksana projek tebatan banjir secara menyeluruh dan menaik taraf sistem saliran sedia ada di kedua-dua daerah berkenaan.

Katanya, limpahan Sungai Mengalong dan sistem saliran yang tidak lagi mampu menampung aliran air menyebabkan 17 kampung di Skim Sindumin sering dilanda banjir, malah ada yang mengambil masa lebih seminggu untuk surut.

Selain itu, kerja-kerja pengorekan, pendalaman dan pemuliharaan muara Sungai Sipitang serta Sungai Mengalong perlu disegerakan.

“Ini penting kerana pemendapan sedimen bukan sahaja menghalang pelepasan air ke laut, malah menyukarkan laluan bot nelayan dan bot operasi agensi ketika air surut,” katanya dalam perbahasan peringkat jawatankuasa belanjawan PETRA di Dewan Rakyat semalam.

Matbali berkata di kawasan DUN Lumadan, penduduknya turut berhadapan dengan banjir dan berlaku sembilan kali sepanjang tahun 2025 akibat limpahan Sungai Padas dan Sungai Bukau.

Antara kawasan terjejas termasuk Kampung Luagan Sanginan, Suasa, Kebajang, Bangkalalak, Mentulud, Bukau dan Lingkungan.

Sementara isu hakisan tebing sungai juga semakin kritikal di banyak kawasan sekitar DUN Lumadan, antaranya di Kampung Lubak, kawasan tanah perkuburan Kampung Lupak dan Beringin serta Kampung Kaundo, Suasa, dan Luagan Sanginan.

Manakala bagi bekalan elektrik, Matbali meminta kementerian membina pencawang elektrik baharu di Kampung Lalangut, Suasa, Kukup, Bangkalalak dan Weston, bagi mengatasi susutan voltan yang sekian lama membelenggu penduduk.

“Kita juga meminta kementerian menaik taraf talian kabel elektrik yang tidak bersalut kepada kabel bertebat di Kampung Weston demi menjamin keselamatan, serta menggantikan 150 unit lampu jalan di Zon Lumadan,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles