TAWAU: Pelantikan Datuk Abdul Fuad Abdul Malek sebagai Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang baharu disifatkan sebagai perkembangan positif dalam usaha memperkukuh tahap keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya di kawasan pantai timur Sabah.
Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd. Zaki Harry Susanto berkata, pelantikan itu diyakini membawa kesinambungan positif kepada pengurusan keselamatan ESSCOM berdasarkan pengalaman luas serta pengetahuan mendalam Abdul Fuad mengenai Sabah.
Menurutnya, Abdul Fuad bukanlah individu asing dalam landskap keselamatan negeri ini kerana beliau mempunyai rekod perkhidmatan yang lama di Sabah, sekali gus memberikan kelebihan dari segi pemahaman terhadap persekitaran, cabaran keselamatan dan corak ancaman jenayah di negeri ini.
“Beliau cukup mengenali Sabah kerana mempunyai pengalaman perkhidmatan yang panjang di negeri ini. Malah, pengetahuan beliau mengenai kawasan pantai timur Sabah juga tidak boleh diperkecilkan.
“Pengalaman beliau ketika menjawat jawatan Ketua Polis Daerah (KPD) Sandakan memberikan pendedahan secara langsung terhadap keadaan keselamatan, geografi serta cabaran penguatkuasaan undang-undang di kawasan berkenaan,” katanya.
Mohd. Zaki berkata, pengalaman berkenaan merupakan satu kelebihan penting memandangkan kawasan operasi ESSCOM merangkumi kawasan keselamatan yang luas, termasuk perairan dan kawasan pesisir pantai timur Sabah yang berhadapan pelbagai cabaran keselamatan.
Katanya, antara cabaran utama yang memerlukan perhatian berterusan ialah jenayah rentas sempadan, penyeludupan, pencerobohan perairan, pemerdagangan manusia serta ancaman keselamatan lain yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat dan kepentingan negara.
Beliau berkata, pemahaman mendalam terhadap karakteristik kawasan operasi serta jaringan kerjasama dengan agensi keselamatan dan penguatkuasaan lain amat penting bagi memastikan setiap tindakan keselamatan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
“Saya percaya pengalaman beliau dalam perkhidmatan kepolisan di Sabah akan membantu memperkukuh koordinasi antara agensi keselamatan, khususnya PDRM, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta agensi berkaitan yang terlibat dalam operasi ESSCOM.
“Kerjasama bersepadu dan perkongsian maklumat risikan perlu terus dipertingkatkan supaya sebarang ancaman keselamatan dapat dikenal pasti dan ditangani lebih awal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap kepimpinan baharu ESSCOM dapat meneruskan usaha memperkukuh kehadiran (Omnipresent) keselamatan di kawasan strategik, terutama lokasi yang mempunyai kepentingan ekonomi dan menjadi tumpuan pelancong.
Katanya, aspek keselamatan bukan sahaja penting untuk melindungi penduduk tempatan, malah turut menjadi faktor utama dalam memastikan keyakinan pelabur serta pelancong domestik dan antarabangsa terhadap Sabah terus terpelihara.
“Keselamatan adalah tanggungjawab bersama. Justeru, pendekatan yang melibatkan kerjasama agensi kerajaan, komuniti setempat dan pemain industri pelancongan perlu terus diperkasakan.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Abdul Fuad atas pelantikan ini dan berharap beliau dapat meneruskan legasi kepimpinan ESSCOM dengan penuh komitmen, integriti serta profesionalisme demi memastikan keselamatan Sabah sentiasa terpelihara,” katanya.