PEMABA syor pusat sehenti diwujud untuk bantu warga Sabah di Semenanjung

KOTA KINABALU: Persatuan Majikan Buruh Asing Malaysia (PEMABA) mencadangkan sebuah One Stop Centre (Pusat Sehenti) diwujudkan di Kuala Lumpur bagi memperkasakan perkhidmatan dan kebajikan puluhan ribu warga Sabah yang menetap, bekerja atau berdepan dengan pelbagai cabaran di Semenanjung Malaysia.

Presiden PEMABA Yacob Gabriel Samson berkata, pusat itu juga akan dapat membantu pekerja Sabah yang bermasalah di mana ramai menjadi gelandangan selepas kehilangan pekerjaan dan tidak tahu di mana tempat untuk meminta bantuan.

“Kami mahu bantu mereka berdikari, tawar pekerjaan yang sesuai dan keluarkan mereka daripada pelbagai masalah sosial. Kita perlu data dan maklumat diri warga Sabah di Semenanjung. Kita perlu ada pusat yang mengumpul dan membantu mereka.

“Kami cadangkan pusat sehenti itu ditubuhkan dengan kerjasama Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur (PPNSKL). Ia akan bertindak sebagai platform penyelarasan dan perantara rasmi antara warga Sabah di Semenanjung dengan pelbagai agensi Kerajaan Negeri serta Kerajaan Persekutuan.

“Menerusi pusat rujukan tunggal ini, rakyat Sabah tidak lagi perlu berurusan dengan pelbagai agensi secara berasingan bagi menyelesaikan isu berkaitan pendataan, peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran mahupun hal ehwal Kebajikan,” katanya di majlis malam gala Carefest 2026 anjuran Persatuan Sokongan Penjagaan Sabah (PSPS) pada Jumaat lalu.

Menurut Yacob, melalui inisiatif ini, Sistem Maklumat Penduduk (SMPENSA) akan dibangunkan sebagai pangkalan data rasmi bagi membantu Kerajaan Negeri Sabah untuk memahami taburan, keperluan serta status sosioekonomi rakyatnya di Semenanjung.

Yacob, adalah anak watan Sabah yang berasal dari Penampang yang juga merupakan pengarah sebuah agensi pekerjaan E-Bayu Sdn Bhd yang sudah beroperasi selama lebih 15 tahun di Semenanjung Malaysia.

Katanya, pusat ini turut memfokuskan kepada usaha menghubungkan pencari kerja dengan majikan menerusi peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti perkhidmatan, hospitaliti, pelancongan dan penjagaan warga emas.

“Ia juga menawarkan akses kepada program peningkatan kemahiran seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), di samping menyelaras penempatan kerja bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA),” katanya.

Mengulas lanjut, Yacob mendedahkan bahawa cadangan penubuhan pusat sehenti ini berasaskan surat daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Beliau menegaskan bahawa puluhan ribu rakyat Sabah dilaporkan bekerja di Semenanjung Malaysia dalam pelbagai sektor, dengan sebahagian daripadanya berdepan pelbagai masalah termasuk ketidakstabilan pekerjaan, hilang punca pendapatan akibat dibuang kerja, isu tunggakan gaji, menjadi mangsa penipuan serta terjebak dalam masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah.

“Mereka inilah yang perlu kita bantu. Kita boleh sediakan pekerjaan yang sesuai kepada mereka jika mereka tahu kewujudan pusat sehenti ini,” katanya.

Sehubungan dengan itu katanya, menerusi E-Bayu, mereka boleh memohon pengiktirafan rasmi daripada Kerajaan Negeri Sabah sebagai rakan strategik dalam kerangka pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ). Langkah ini dilihat mampu memastikan kebajikan rakyat di luar negeri terus terbela selari dengan hasrat agar tiada anak Sabah yang terpinggir daripada arus pembangunan arus perdana.

Pihak agensi itu menegaskan bahawa inisiatif ini bukan bertujuan mengambil alih fungsi mana-mana jabatan kerajaan, sebaliknya bertindak sebagai mekanisme sokongan melalui penggemblengan tenaga sektor swasta dan kerajaan. 

E-Bayu berharap agar cadangan pengiktirafan rasmi, pelantikan panel pengantara khusus, serta penyediaan ruang pejabat di bawah penyelarasan PPNSKL dapat dipertimbangkan secara serius oleh kepimpinan Kerajaan Negeri demi kesejahteraan masa depan rakyat Sabah di perantauan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles