KOTA BELUD: Lebih 800 peserta menyertai 1st SAB-WIDE Master Guide Leadership Camp 2026 (MGLC26) anjuran Jabatan Pelayanan Belia Sabah Mission yang berlangsung selama empat hari, bermula 6 November.
Program negeri yang julung kali diadakan itu menjadi platform memperkukuh kemahiran kepimpinan, kerjasama dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia gereja Seventh-day Adventist.
Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berkata, golongan muda perlu berani mengambil peranan sebagai pemimpin, bukan sahaja dalam institusi keagamaan, malah dalam masyarakat dan pentadbiran negeri.
Menurutnya, kepimpinan memerlukan kesediaan untuk berkhidmat, menghadapi cabaran serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan budaya.
Ewon turut menggalakkan golongan muda memanfaatkan pelbagai wadah kepimpinan untuk membawa perubahan positif kepada komuniti masing-masing.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan MGLC26 pada Isnin.
Dalam majlis sama, Ewon mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 pada tahun hadapan bagi menaik taraf kemudahan di tapak perkhemahan berkenaan.
Peruntukan itu antaranya boleh digunakan untuk penambahbaikan kemudahan tandas serta pembangunan kecil lain yang diperlukan bagi meningkatkan keselesaan pengguna.
Selain pengisian kepimpinan dan kerohanian, MGLC26 turut melibatkan 39 penggerai yang menjalankan aktiviti jualan sepanjang perkhemahan berlangsung.
Penyertaan penggerai berkenaan turut membuka peluang kepada usahawan tempatan menjana pendapatan melalui aktiviti keusahawanan sepanjang program berlangsung.
Ewon turut mengingatkan peserta agar sentiasa mengamalkan nilai integriti, bertanggungjawab dan berpegang teguh kepada prinsip moral dalam menjalankan amanah sebagai pemimpin.
