KOTA KINABALU : Keyakinan bahawa pendidikan mampu mengubah kehidupan seseorang merupakan antara faktor utama yang mendorong komitmen Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dalam memperluas peluang pendidikan kepada anak-anak Sabah.
Justeru itu, Presiden Alumni Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS), Datuk Pakhruddin Bian, menyifatkan peruntukan RM1.3 bilion untuk pendidikan oleh Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Hajiji sebagai bukti komitmen memperkukuh pembangunan modal insan.
Menurutnya, pelbagai bentuk bantuan pendidikan yang disediakan mampu meringankan beban ibu bapa dan keluarga, selain memberikan peluang kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.
“Alumni KTYS menyambut baik usaha Kerajaan Negeri dalam memperluas akses pendidikan kepada anak-anak Sabah. Pelaburan dalam pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang akan menentukan masa depan generasi muda dan pembangunan negeri.
“Kita mahu lebih ramai anak Sabah mendapat peluang melanjutkan pengajian, meningkatkan kemahiran dan seterusnya menjadi tenaga profesional serta tenaga kerja mahir yang mampu menyumbang kepada kemajuan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas ucapan Hajiji pada ucap utamanya di Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah di Kudat, baru-baru ini yang menyentuh soal pendidikan anak-anak Sabah.
Pakhruddin turut menyambut baik peningkatan peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM155 juta pada 2026, iaitu pertambahan sebanyak RM100 juta.
Katanya, peningkatan peruntukan itu menunjukkan perhatian terhadap pembiayaan pendidikan dan keperluan memastikan lebih ramai pelajar berkelayakan mempunyai peluang meneruskan pengajian mereka.
Beliau berkata, bantuan pendidikan bukan sekadar menyediakan sokongan kewangan, malah berperanan membuka ruang mobiliti sosial, meningkatkan taraf kehidupan keluarga dan mengurangkan jurang peluang pendidikan dalam kalangan masyarakat.
