RM89.9 JUTA KERUGIAN HASIL: APA PERKEMBANGAN DI SABAH SELEPAS 2024 – MADIUS

RM89.9 JUTA KERUGIAN HASIL: APA PERKEMBANGAN DI SABAH SELEPAS 2024 – MADIUS

KUALA LUMPUR:  Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, meminta penjelasan lanjut mengenai perkembangan kes kecurian elektrik di Sabah selepas kuasa kawal selia bekalan elektrik diserahkan kepada kerajaan negeri itu pada 3 Jan 2024.

Beliau berkata berdasarkan jawapan bertulis Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) terhadap pertanyaan lisan beliau di Dewan Rakyat pada 22 Okt lepas, sebanyak 14,819 kes usikan pepasangan meter dikenal pasti di Sabah pada 2023, melibatkan anggaran kerugian hasil RM89.9 juta.

Madius berkata jumlah kerugian itu amat besar dan menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan langkah penguatkuasaan yang dilaksanakan serta perkembangan kes berkenaan selepas penyerahan kuasa kawal selia kepada Sabah.

“Persoalan utama saya ialah sama ada kes kecurian elektrik di Sabah telah berkurangan sejak 2024. Jika ya, berapakah pengurangannya dan apakah sasaran yang ditetapkan?” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pertanyaan itu disenaraikan sebagai Soalan No. 20 untuk jawapan lisan, namun beliau hanya menerima jawapan bertulis berdasarkan kedudukan soalan dalam senarai dan tidak berpeluang mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat.

Dalam pertanyaannya , Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO meminta PETRA menyatakan berapakah kes dan kerugian kecurian elektrik bagi 2023-2026 di Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta sasaran pengurangan, tindakan penguatkuasaan dan penyelarasan data antara Suruhanjaya Tenaga, ECoS dan pengawal selia Sarawak.

Menurut jawapan PETRA, Energy Commission of Sabah (ECoS) telah melaksanakan beberapa langkah bagi membanteras kegiatan berkenaan, termasuk intervensi kejuruteraan, serbuan, operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa serta tindakan pendakwaan terhadap kegiatan sambungan elektrik haram.

Madius berkata maklumat mengenai tindakan penguatkuasaan itu perlu disertai statistik terkini bagi menilai keberkesanannya, khususnya jumlah kes dan kerugian hasil bagi 2024, 2025 dan 2026.

“Rakyat perlu mengetahui sama ada jumlah kes dan kerugian hasil semakin menurun atau sebaliknya. Kita memerlukan data perbandingan tahunan serta sasaran yang boleh diukur bagi menilai keberkesanan tindakan yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata kecurian elektrik bukan sahaja mengakibatkan kerugian hasil, malah boleh mengancam keselamatan pengguna, merosakkan pepasangan elektrik dan menjejaskan kestabilan sistem bekalan tenaga.

Sehubungan itu, beliau berharap PETRA dapat memberikan penjelasan lanjut mengenai perkembangan kes kecurian elektrik di Sabah selepas 2023, termasuk jumlah kerugian hasil terkini dan pencapaian langkah penguatkuasaan yang dilaksanakan.

“RM89.9 juta ialah jumlah yang besar. Kita perlu mengetahui bukan sahaja tindakan yang diambil, tetapi juga sama ada tindakan itu benar-benar membawa hasil dan melindungi kepentingan rakyat,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles