SUMBANGAN DP WORLD MEMBANTU MEWUJUDKAN PERJALANAN SEKOLAH YANG LEBIH SELAMAT DI SABAH

Pelajar yang menaiki bot ke sekolah telah menerima jaket keselamatan saiz kanak-kanak, dalam usaha memastikan keselamatan perjalanan harian komuniti pesisir di Sabah.

Para tetamu kehormat yang diundang termasuk: Pn. Susie Thomas, wakil daripada Lembaga Pelabuhan Sabah; Kpt. Ramesh Raj, Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Sabah Ports Sdn Bhd; Hj. Rosarnizam Othman, Pengurus Kanan, Keselamatan & Kelestarian, Sabah Ports Sdn Bhd; Nick Anthony, Pengurus, Jabatan Polis Bantuan Pelabuhan, Sabah Ports Sdn Bhd; Pn. Asma Binti Haji Ahmad, Guru Besar SK Gantisan; Vineet Mahajan, Naib Presiden, Kelestarian, DP World APAC (ketiga dari kanan); dan Safuan Basir, Pengarah Urusan, DP World Sabah, SEA Ports & Terminals (ketujuh dari kanan) menyertai murid-murid di Sabah dalam satu majlis penyerahan jaket keselamatan yang disediakan menerusi inisiatif DP World bagi menyokong perjalanan ke sekolah yang lebih selamat.

KOTA KINABALU: Setiap hari persekolahan, pelajar dari Kampung Numbak dan Kampung Kebagu di Kota Kinabalu menaiki bot ke Sekolah Kebangsaan (SK) Gantisan. 

Namun bagi pelajar tersebut, perjalanan mereka terpaksa ditempuhi dengan memakai jaket keselamatan bersaiz dewasa yang terlalu besar dan tidak sesuai dengan saiz tubuh badan mereka.

Bagi membantu menjadikan perjalanan mereka lebih selamat, DP World telah bekerjasama dengan rakan kongsi usaha sama tempatannya, Suria Group dan Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB), untuk menyediakan jaket keselamatan bersaiz kanak-kanak kepada pelajar yang berulang-alik ke sekolah dengan menaiki bot. 

Inisiatif  ini mencerminkan komitmen DP World terhadap komuniti di kawasan operasinya, melalui peningkatan keselamatan harian kanak-kanak sekali gus memudahkan akses kepada pendidikan.

Jaket keselamatan tersebut diserahkan secara rasmi dalam satu majlis yang diadakan pada 1 Oktober di Wisma Sabah Ports, yang dihadiri oleh wakil-wakil DP World, Suria Group, Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) dan Sabah Ports Authority (SPA), serta pelajar, guru dan ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Gantisan. 

Pada majlis tersebut, sebanyak 11 jaket keselamatan bersaiz kanak-kanak diserahkan kepada pelajar dari Kampung Numbak dan Kampung Kebagu yang bergantung kepada pengangkutan bot setiap hari untuk ke sekolah. Baki 199 jaket keselamatan akan dihantar terus kepada SK Gantisan.

Gaylynne Neill, Naib Presiden Eksekutif, Sumber Manusia, Asia Pasifik, DP World, berkata: “Di DP World, tanggungjawab kami bukan sekadar mengendalikan pergerakan barangan, tetapi juga membina komuniti yang lebih kukuh dan makmur, di mana setiap individu tanpa mengira usia dapat berkembang maju. 

Pendidikan menjadi keutamaan dalam komitmen kami, dan kami percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak melakukan perjalanan ke sekolah dengan selamat, tanpa mengira tempat tinggal mereka. Bagi pelajar dalam komuniti pesisir Sabah, perjalanan tersebut bermula di atas air, dan sesuatu yang begitu asas seperti jaket keselamatan yang dipakai dengan betul boleh membawa perubahan yang bermakna. 

Oleh itu, kami berbesar hati dapat memperkenalkan inisiatif ini di SK Gantisan – lantas memperkukuh akses kepada pendidikan yang akhirnya dapat menyokong kemajuan dan pembangunan ekonomi jangka panjang.”

Selain pengagihan jaket keselamatan, DP World akan meneruskan kerjasama dengan SK Gantisan untuk meningkatkan kesedaran pelajar mengenai biodiversiti marin dan pemuliharaan melalui pelaksanaan aktiviti pendidikan yang merangkumi topik seperti terumbu karang, hutan bakau, pemuliharaan penyu dan orang utan.

Pendidikan merupakan antara bidang tumpuan utama DP World di peringkat global di bawah strategi kemampanan Our World, Our Future, yang menyasarkan untuk memberi manfaat kepada 1.5 juta pelajar menjelang 2030. 

Di bawah strategi ini, syarikat menyokong inisiatif pendidikan yang meluaskan akses kepada pembelajaran dan peluang masa depan, termasuk program biasiswa dan jangkauan sekolah. Baru-baru ini, DP World bekerjasama dengan organisasi bukan untung Australia, LiteHaus International, untuk melancarkan inisiatif pendidikan digital di Fiji, sekali gus meluaskan akses kepada teknologi dan peluang pembelajaran digital untuk pelajar di lima buah sekolah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles