KOTA KINABALU: Persatuan Badminton Negeri Sabah (SBA) telah berjaya menganjurkan Sesi Perkongsian Hala Tuju Pembangunan Badminton Malaysia bersama wakil Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Lim Kenn, yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Wisma Wanita, dekat sini pada Sabtu.
Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran seramai 75 orang peserta, terdiri daripada pemain, ibu bapa dan jurulatih dari pelbagai daerah di seluruh negeri Sabah.
Sesi perkongsian tersebut memberi pendedahan dan pemahaman yang lebih jelas mengenai hala tuju pembangunan badminton Malaysia, termasuk peranan dan tanggungjawab pemain, ibu bapa serta jurulatih dalam membentuk pemain berprestasi tinggi.
Selain itu, peserta turut diberikan penerangan berkaitan kriteria pemilihan pemain oleh BAM, kaedah penilaian serta laluan pembangunan pemain, bermula dari peringkat negeri sehingga ke skuad kebangsaan.
Dalam ucapan yang disampaikan oleh Encik John Baru bagi pihak Datuk Dr. Maijol Mahap, Presiden SBA, beliau menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua pemain, ibu bapa serta jurulatih yang telah meluangkan masa untuk hadir dan menyertai program tersebut.
Beliau berharap segala perkongsian, ilmu dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang program dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua peserta, khususnya dalam usaha meningkatkan prestasi dan pembangunan badminton di Sabah.
Pada masa yang sama, Presiden SBA turut menyeru agar semua pihak terus bekerjasama dan membina hubungan yang lebih erat dengan SBA demi memastikan pembangunan badminton di negeri Sabah dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, berterusan dan berkesan.
“Kerjasama erat, persefahaman dan bergerak seiring sejalan antara SBA, pemain, ibu bapa dan jurulatih merupakan asas penting dalam membentuk ekosistem badminton yang lebih kukuh di Sabah. Dengan kesatuan dan komitmen semua pihak, kita mampu membawa pembangunan badminton Sabah ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
SBA percaya program seperti ini mampu menjadi platform penting untuk merapatkan hubungan antara pemain, ibu bapa, jurulatih dan pihak pengurusan, di samping membuka ruang kepada perkongsian ilmu serta pemahaman yang lebih baik mengenai laluan pembangunan pemain ke peringkat yang lebih tinggi.
SBA turun merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lim Kenn, wakil BAM, serta semua pemain, ibu bapa dan jurulatih yang telah hadir dan memberikan sokongan kepada program ini.
