KOTA KINABALU: Persatuan Alumni Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) menyambut baik usaha KTYS memperkukuh peranannya dalam pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), termasuk cadangan menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) secara kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Presiden Persatuan Alumni KTYS, Datuk Pakhruddin Bian berkata, usaha berkenaan merupakan perkembangan positif dalam memperluas akses pendidikan teknologi tinggi kepada anak-anak Sabah.
Beliau berkata, sekiranya direalisasikan, program berkenaan berpotensi menjadi antara inisiatif penting KTYS dalam memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang memberi penekanan kepada bidang STEM.
“Alumni KTYS menyambut baik perbincangan awal ini dan melihatnya sebagai satu langkah ke hadapan dalam menyediakan peluang pendidikan dalam bidang kecerdasan buatan kepada generasi muda Sabah.
“Bidang AI mempunyai potensi yang besar dan kita perlu memastikan anak-anak Sabah turut mendapat peluang untuk mengikuti pengajian serta membina kemahiran dalam bidang teknologi masa depan,” katanya.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KTYS Datuk Tah Niah Jaman dalam ucapannya pada Majlis Konvoksyen KTYS Ke-29 pada Khamis lepas.
Sementara itu, Pakhruddin turut menyambut baik usaha KTYS memperluas akses pendidikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah menerusi Program Gerak Cemerlang SPM (GeCerSPM).
Beliau berkata program berkenaan mencerminkan komitmen KTYS dalam membantu pelajar Tingkatan Lima daripada golongan B40 dan keluarga yang tergolong dalam kategori e-Kasih mendapatkan bimbingan tambahan bagi menghadapi peperiksaan SPM, khususnya dalam subjek Matematik dan Sains.
Program GeCerSPM dilaksanakan pada 2025 melibatkan tiga sekolah menengah di Kota Kinabalu dan tahun ini diperluas ke dua daerah lagi iaitu Tuaran dan Keningau, melibatkan kira-kira 300 pelajar.
Pakhruddin berkata, peluasan program berkenaan membuktikan peranan KTYS bukan sahaja tertumpu kepada pendidikan di peringkat pengajian tinggi, malah turut memberi perhatian kepada usaha meningkatkan pencapaian akademik pelajar sekolah menengah.
Beliau turut menyatakan kesediaan Persatuan Alumni KTYS untuk terus menyokong usaha institusi itu dalam memperkukuh pendidikan, pembangunan modal insan serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda Sabah.
