SAFMA tinjau keperluan peralatan nelayan di Tawau

Gambar : Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar bersama rombongan ketika meninjau sebuah premis menjual peralatan menangkap ikan di Jalan Pasar, Tawau.

TAWAU:  Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) terus memperluaskan tinjauan lapangan bagi memahami keperluan sebenar komuniti nelayan dalam usaha memperkukuh ekosistem industri perikanan di Sabah.

Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar berkata, pihaknya melakukan tinjauan ke premis menjual peralatan menangkap ikan di Jalan Pasar, Tawau, bagi melihat sendiri jenis peralatan yang terdapat di pasaran serta keperluan nelayan di daerah itu.

Menurutnya, usaha membangunkan industri perikanan tidak seharusnya tertumpu kepada aspek pemasaran hasil laut semata-mata, sebaliknya perlu melihat keseluruhan rantaian industri termasuk kemudahan dan peralatan yang diperlukan nelayan.

“Nelayan merupakan antara pemain utama dalam rantaian bekalan makanan. Justeru, kita perlu turun ke lapangan untuk memahami keperluan mereka dan mengenal pasti ruang yang boleh diterokai bagi membantu meningkatkan produktiviti serta pendapatan.

“SAFMA mahu melihat pembangunan sektor perikanan secara menyeluruh, bermula daripada keperluan nelayan, pendaratan hasil laut sehinggalah kepada pemasaran kepada pengguna,” katanya ketika melakukan tinjauan berkenaan.

Burhan berkata, Tawau mempunyai potensi besar dalam sektor perikanan dan usaha memperkukuh industri berkenaan perlu dilaksanakan melalui kerjasama pelbagai pihak.

Katanya, SAFMA akan terus meneroka peluang yang berpotensi memberi nilai tambah kepada industri perikanan serta memberi manfaat secara langsung kepada nelayan dan komuniti setempat.

“Matlamat kita adalah untuk mewujudkan ekosistem perikanan yang lebih kukuh dan mampan, sekali gus menyumbang kepada keterjaminan makanan serta pembangunan ekonomi Sabah,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles