KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) tekad meneruskan komitmen memperkukuh jalinan kerjasama dan sinergi bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPN Sabah) menerusi Kunjungan Hormat KGKS kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Tuan Haji Abidin bin Haji Marjan, yang berlangsung petang tadi di Pejabat Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Wisma JPN Sabah pada Isnin.
Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Presiden KGKS Negeri Sabah, Encik Murkam bin Haji Hussien, bersama barisan kepimpinan KGKS sebagai sebahagian daripada usaha mempererat hubungan strategik antara kesatuan dengan pihak pengurusan pendidikan negeri.
Pertemuan ini menjadi ruang penting untuk memperkukuh komunikasi, membina persefahaman serta membawa aspirasi dan suara warga pendidik dalam usaha bersama memperkasa profesion keguruan dan meningkatkan kualiti pendidikan di Sabah.
KGKS percaya bahawa hubungan yang erat antara kesatuan dan JPN Sabah merupakan asas penting dalam membentuk sinergi, permuafakatan dan kerjasama berterusan demi mewujudkan ekosistem pendidikan yang lebih baik serta memberi manfaat kepada guru, warga pendidikan dan anak-anak Sabah.
Kunjungan ini turut mencerminkan iltizam KGKS untuk terus memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam mendukung agenda pendidikan negeri serta memperjuangkan kepentingan dan kebajikan warga pendidik secara konstruktif dan berterusan.
