Michael Malanjun ketuai lebih 100 bekas ahli STAR sertai PGRS

Kapsyen – Freddy Ekol mewakli bekas ahli STAR menyerahkan borang keahlian PGRS kepada Mandela disaksikan John Ambrose dan Aminah

Oleh JT

PENAMPANG: Pengerusi Majlis Wira Emas STAR Sabah, Datuk Michael Malanjun mengetuai lebih 100 ahli Parti Soladiriti Tanah Air Ku (STAR) menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) hari ini.

Pemimpin Parti STAR lain yang menyertai parti itu ialah Ahli Majlis Tertinggi parti, Freddy Ekol serta James Kenson.

Mereka menyerah borang keahlian kepada Ketua Bahagian PGRS Penampang, Datuk Ceasar Mandela Malakun, dalam satu pertemuan di ITCC Penampang.

Michael berkata, keputusannya untuk bersama PGRS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibuat atas hasrat untuk meneruskan perjuangan politiknya untuk Sabah serta terus menyumbang kepada negeri.

“Perjuangan saya selama ini adalah untuk Sabah dan saya masih mahu menyumbang. Saya melihat GRS sebagai wadah untuk saya meneruskan perjuangan itu dan menggunakan pengalaman yang ada untuk membantu Sabah dan rakyat kita,” katanya.

Michael berkata beliau selesa dengan gaya kepimpinan Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan melihat pendekatan kepimpinan beliau sebagai antara sebab untuk bersama PGRS.

“Saya suka gaya kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji. Saya percaya masih banyak yang boleh saya sumbangkan dan saya mahu memainkan peranan, setakat yang saya mampu, untuk membantu Sabah bergerak ke hadapan,” katanya.

Mengalu-alukan penyertaan mereka, Mandela berkata PGRS menghormati pengalaman politik setiap individu yang memilih untuk bersama parti.

“Saya mengalu-alukan Datuk Michael, Freddy, James dan semua rakan yang bersama kita hari ini. Mereka masing-masing membawa pengalaman sendiri dan saya percaya semua itu boleh digunakan untuk sesuatu yang baik bagi masyarakat dan Sabah,” katanya.

Beliau berkata GRS perlu kekal sebagai wadah yang terbuka bukan sahaja kepada mereka yang mempunyai latar belakang politik, tetapi kepada sesiapa yang mahu mengambil bahagian dalam membina masa depan Sabah.

“GRS sentiasa terbuka. Bukan hanya kepada orang politik. Kalau anda seorang profesional, ahli perniagaan, anak muda, pemimpin masyarakat atau sesiapa sahaja yang mempunyai idea dan keinginan untuk menyumbang kepada Sabah, ada ruang untuk kita bekerja bersama.

“Kita mungkin datang daripada parti, latar belakang dan perjalanan yang berbeza. Itu tidak seharusnya menghalang kita daripada bekerjasama apabila matlamatnya sama iaitu mahu melihat Sabah maju dan kehidupan rakyat menjadi lebih baik,” katanya.

Mandela berkata penyertaan dalam parti juga perlu disusuli dengan tanggungjawab dan kerja di lapangan.

“Bagi saya, yang penting bukan berapa ramai yang masuk parti pada satu-satu hari. Yang lebih penting ialah apa yang kita lakukan selepas itu.

“Kita mahu ahli-ahli kita turun ke lapangan, dengar denyutan masyarakat dan bantu apa yang kita boleh laksanakan.

“Politik sepatutnya akhirnya membawa kepada satu perkara yang mudah: bagaimana kita boleh menyumbang kepada rakyat dan kepada Sabah,” katanya.

Majlis penyerahan borang keahlian tersebut disaksikan Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk John Ambrose.

Turut hadir Naib Ketua Bahagian PGRS Penampang, Datuk Aminah Ambrose; Setiausaha Bahagian, Daniel Edmund; Bendahari, Salis Dingon dan Ketua Penerangan, Petrus C. Mojuntin.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles