Tarikh 16 Sept buka lembaran baharu untuk Sabah dan Sarawak

Oleh DATUK TS. MUSTAPHA SAKMUD, (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak)

KOTA KINABALU: Sebagaimana yang tercatat dalam sejarah, Tanah Melayu bebas dari penjajahan pada 31 Ogos 1957, Sarawak ditadbir anak watan bermula 22 Julai 1963 dan Sabah mentadbir sendiri pada 31 Ogos 1963. Meskipun 3 wilayah ini mencapai kemerdekaan dan pentadbiran sendiri pada tempoh masa yang berbeza, 16 September 1963 menjadi lembaran baharu untuk kita semua. 

Hari Malaysia pada 16 September adalah suatu monumental sejarah yang menyatukan wilayah, masyarakat dan latar yang berbeza untuk membina sebuah negara berdaulat bernama Malaysia. 

63 tahun telah pun berlalu, tanggungjawab kita bukan sekadar mengenang sejarah tersebut. Tanggungjawab kita ialah untuk memastikan semangat pembentukan Malaysia terus diterjemahkan dalam kehidupan seharian setiap rakyat Malaysia.

Atas dasar itulah pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diangkat menjadi naratif nasional Kerajaan Madani pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri di Kota Kinabalu baru-baru ini sekali lagi menzahirkan komitmen Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak untuk mencapai kata sepakat dalam menjunjung perlembagaan persekutuan dengan berasaskan perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Antara perkembangan penting ialah persetujuan secara prinsip berhubung penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira keperluan “ratio” dan representasi perwakilan kedua-dua wilayah dalam keseluruhan komposisi Dewan Rakyat.

Penambahan ini bukan sekadar angka tetapi memastikan suara rakyat  Borneo diambilkira dalam keputusan dasar penting negara.

Perkembangan positif juga turut dicapai dalam usaha borneonisasi perjawatan Persekutuan di Sabah dan Sarawak.

Bagi Sabah, Kerajaan Persekutuan juga terus memberikan perhatian serius terhadap hak Pemberian Khas di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan. 

Pemberian Khas Interim Sabah bagi tahun 2026 telah ditingkatkan kepada RM1.5 bilion, berbanding RM600 juta sebelum ini, dengan baki RM900 juta dilaksanakan pada tahun ini. Namun harus diketahui bahawa pelaksanaan mengenai hak 40 peratus Sabah tidak terhenti dengan pembayaran interim tersebut. 

Malah diteruskan selaras peruntukan perlembagaan.

Inilah pendekatan Malaysia MADANI. Kita memilih rundingan daripada konfrontasi. Kita memilih penyelesaian daripada slogan. MA63 tidak seharusnya menjadi naratif Sabah dan Sarawak semata-mata. MA63 adalah naratif nasional. Itulah makna sebenar sebuah Persekutuan.

Dalam semangat menjadikan MA63 sebagai naratif nasional, Bahagian Hal Ehwal Sabah Sarawak (BHESS) bakal bekerjasama dengan Backbenchers’ Club (BBC) Parlimen Malaysia untuk menggerakkan Friends of BHESS, sebagai wadah memperluas kefahaman mengenai MA63 dalam kalangan Ahli Parlimen dan Senator. 

Hak Sabah dan Sarawak bukan perjuangan wilayah semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama dalam membina Malaysia yang lebih adil, seimbang dan kukuh.

Dalam semangat yang sama, sambutan Hari Malaysia seharusnya menjadi ruang untuk kita mengukuhkan perpaduan dan bukannya pentas untuk meruntuhkan kestabilan negara dengan menggesa pembubaran awal tanpa sebab yang munasabah.

Kita boleh berbeza parti. Kita boleh berbeza pendapat. Kita boleh mengkritik polisi dan berbahas tentang dasar serta masa depan Negara. Itulah semangat demokrasi yang kita perjuangkan selama ini.

Tetapi demokrasi juga menuntut kematangan dan kebijaksanaan berpolitik. Ianya amat mengecewakan apabila kita dalam rangka menyambut Hari Keramat negara ini, ada pihak-pihak yang cuba menggerakkan pembubaran parlimen.

Pada masa yang sama, kebebasan bersuara tidak memberikan lesen kepada sesiapa untuk menghina agama, memperlekeh kepercayaan sesuatu masyarakat sebagai bahan jenaka di pentas politik.

Adalah amat dikesali, setelah lebih enam dekad kita hidup bersama sebagai sebuah negara, masih terdapat pemimpin politik yang gagal memahami batas ini.

Malaysia dibina oleh masyarakat Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan pelbagai kepercayaan yang telah hidup bersama selama beberapa generasi. Di Sabah dan Sarawak khususnya, kepelbagaian agama dan budaya bukan sesuatu yang asing kepada kita. Ia adalah sebahagian daripada kehidupan seharian kita.

Kita sekeluarga, makan semeja. Kita bekerja bersama. Kita berjiran. Kita meraikan perayaan satu sama lain dan saling membantu ketika berdepan kesusahan.

Politik Malaysia mesti bergerak ke hadapan dengan merangkul semua warga negara berdaulat ini. Marilah berpegang dengan prinsip mencari titik-titik persamaan dan menghormati perbezaan diantara kita.

Kematangan politik bermaksud kita mampu mempertahankan pendirian tanpa menghina orang lain; memperjuangkan hak negeri tanpa merosakkan  hubungan dengan Kerajaan Persekutuan; mengkritik kerajaan tanpa meruntuhkan institusi; dan bersaing dalam pilihan raya tanpa mempertaruhkan keamanan serta kestabilan negara.

Semangat inilah yang perlu kita bawa ketika Malaysia memasuki dekad-dekad seterusnya.

Hari Malaysia mengingatkan kita bahawa negara ini tidak dibina oleh satu wilayah atau satu kaum sahaja. Malaysia dibina bersama. Maka Malaysia juga mesti kita pertahankan bersama.

Daripada Perlis hingga ke Sabah, kita mungkin dipisahkan oleh geografi tetapi kita disatukan oleh sebuah cita-cita yang jauh lebih besar iaitu untuk membina Malaysia yang aman, adil, makmur dan menghormati setiap rakyatnya.

Marilah kita menjadikan 16 September ini bukan sekadar hari untuk mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi hari untuk memperbaharui janji kita kepada ibu pertiwi

Selamat Hari Malaysia 2026

“Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”

Related Articles

253FansLike

Latest Articles