KOTA KINABALU: Lebih 12,000 penduduk di kawasan Kingfisher mendakwa berdepan gangguan bekalan air sejak dua hingga tiga minggu lalu sehingga menjejaskan rutin harian mereka.
Seorang penduduk, Ivory Chong, berkata masalah itu semakin membebankan apabila bekalan didakwa kembali pulih selepas aduan dibuat, namun gangguan sama berulang.
“Kalau buat aduan, secara automatik ada air. Tapi takkan setiap hari kami kena telefon dan buat aduan baru dapat air?
“Sudah dua hingga tiga minggu keadaan begini. Penduduk mahu penyelesaian, bukan sekadar bekalan pulih sementara selepas aduan dibuat,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Sepanta Abdul, mempersoalkan mengapa kawasan berhampiran bandar masih berdepan masalah bekalan air berpanjangan.
“Kami sangat terjejas dengan masalah air yang membebankan penduduk di seluruh kawasan Kingfisher ini.
“Kami tinggal dekat bandar, namun masih mengalami masalah ini sehingga kini,” katanya.
Sementara itu, Mohd Safian Saludin mendakwa talian hotline Jabatan Air Negeri Sabah di 088-232364 sukar dihubungi ketika penduduk cuba membuat aduan.
ADUN Darau, Azhar Matusin pula berkata masalah itu dipercayai berpunca daripada kapasiti booster pump pada tangki simpanan Kingfisher yang tidak mampu menampung keperluan kira-kira 12,000 penduduk.
Menurut Azhar, isu berkenaan pernah dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), namun masih belum diselesaikan.
“Masalah ini bukanlah besar. Kerajaan negeri boleh menyelesaikan masalah ini dengan segera.
“Kita telah bawa dalam persidangan DUN lalu, namun sehingga kini gagal diselesaikan,” katanya.
Penduduk mahu Jabatan Air Negeri Sabah mengenal pasti punca sebenar gangguan selain memberikan notis lebih awal sekiranya berlaku masalah teknikal atau kerja penyelenggaraan.
