Media perlu kekal adil, seimbang dalam laporan – Azizah

KOTA KINABALU: Pengamal media di Sabah perlu terus mengekalkan prinsip keadilan, ketepatan dan keseimbangan dalam setiap laporan bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat yang lengkap dan jelas.

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata, media bukan sekadar berperanan membuat liputan, malah menjadi jambatan penting antara rakyat dengan kerajaan, agensi dan institusi.

Katanya, setiap isu perlu dilihat daripada kedua-dua sisi dengan memberi ruang kepada semua pihak menyampaikan pandangan dan penjelasan.

“Cepat itu bagus, tetapi tepat dan adil itu lebih penting,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media IDS 2026 di Hotel Hilton, di sini, hari ini.

Menurut Azizah, pengamal media juga perlu peka terhadap sensitiviti masyarakat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan adat resam.

“Kita boleh kritikal dan bertanya soalan yang tegas, namun semuanya hendaklah dilakukan dengan berhemah dan penuh rasa tanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata IDS akan terus memberi tumpuan kepada kajian berkaitan pembangunan sosioekonomi, kesejahteraan rakyat, kemiskinan, keusahawanan dan pemerkasaan wanita.

Katanya, hasil kajian IDS tidak seharusnya hanya tersimpan dalam bentuk laporan, sebaliknya perlu disampaikan kepada pemegang taruh, khususnya rakyat.

“Rakan-rakan media banyak membantu IDS memastikan ilmu dan maklumat daripada hasil kajian sampai kepada masyarakat,” katanya.

Azizah turut berharap hubungan baik antara IDS dan media terus diperkukuh melalui kerjasama, perkongsian maklumat dan pertukaran pandangan demi kepentingan rakyat serta pembangunan Sabah.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk TS Dr. Ramzah Dambul serta Ahli Lembaga Pengarah IDS.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles