560 sertai kursus pertanian pintar di Tambunan – Victor P Paut

560 sertai kursus pertanian pintar di Tambunan – Victor P Paut

TAMBUNAN: Seramai 560 orang peserta menyertai kursus pertanian pintar dan kaedah penanaman lada hitam anjuran Sawit Kinabalu yang julung kali diadakan, sekaligus menjadi antara program berskala besar seumpamanya di daerah ini sekaligus telah mencipta satu sejarah penyertaan terbesar. 

Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera, Datuk Victor Peter Paut berkata, kursus yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan itu bertujuan memperkenalkan kaedah pertanian moden kepada peserta menerusi penggunaan teknologi pintar.

Katanya, jumlah penyertaan yang menggalakkan itu menunjukkan minat masyarakat khususnya petani dan usahawan agro untuk beralih daripada kaedah pertanian konvensional kepada pendekatan lebih moden dan berasaskan teknologi.

Menurutnya, peserta akan didedahkan kepada penggunaan teknologi seperti telefon pintar dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan sebarang pemantauan serta pengurusan tanaman dengan lebih efisien.

“Kaedah moden ini membolehkan petani mengawal kerja penyiraman, memantau keadaan tanaman dan mengurus pembajaan hanya menerusi telefon bimbit tanpa perlu sentiasa berada di kawasan ladang.

“Jadi, bukan lagi kita yang mengusahakan tanah pertanian dengan cara lama membanting tulang empat kerat, tetapi menggunakan teknologi moden yang lebih efisien,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan kursus itu, di sini pada Sabtu, 12 September. 

Victor yang juga Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan berkata, pendekatan pertanian pintar itu turut mengambil contoh sistem pertanian yang diamalkan di Jepun, khususnya Hokkaido yang pernah dilawatinya sebanyak dua kali.

Katanya, penggunaan teknologi membolehkan petani di Hokkaido menguruskan kawasan pertanian dari rumah, termasuk memantau keadaan tanaman tanpa perlu berada secara fizikal di ladang.

“Mereka memberitahu saya teknologi yang digunakan sekarang membolehkan manusia tidak perlu berada di ladang, sebaliknya semuanya boleh dikawal dari rumah yang sudah tentu memudahkan para petani mengusahakan tanah mereka.

“Pendekatan sama berpotensi dilaksanakan di Tambunan bagi membantu melahirkan lebih ramai petani moden serta meningkatkan kecekapan pengurusan sektor pertanian.

“Pada masa sama mampu menjadikan daerah ini sebagai hab pertanian moden di masa depan,” katanya yang akan turut

berusaha mendapatkan sokongan kerajaan negeri, termasuk institusi kewangan bagi membantu petani mendapatkan pembiayaan teknologi melalui pemberian geran atau kemudahan pinjaman.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles