Friends of BHESS bakal diperkenal bagi memperkukuh MA63 sebagai Naratif Nasional

Friends of BHESS bakal diperkenal bagi bagi memperkukuh MA63 sebagai Naratif Nasional

Gambar ehsan Pejabat Perdana Menteri

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud menyambut baik dan mendukung persetujuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,  Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai naratif nasional.

Menurutnya pendekatan itu penting kerana perkara berkaitan MA63 bukan hanya menyentuh kepentingan Sabah dan Sarawak, tetapi merupakan sebahagian daripada asas pembentukan dan pengukuhan Persekutuan Malaysia.

“Pelaksanaannya memerlukan kefahaman dan dukungan bersama dari seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan sempena Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di sini hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, Mustapha berkata beliau akan bekerjasama dengan Kaukus Backbenchers Kerajaan (BBC) Parlimen Malaysia bagi mengusahakan penubuhan dan pelancaran Friends of BHESS (Bahagian Hal Ehwal Sabah & Sarawak)

“Inisiatif ini akan menjadi wadah untuk memperluaskan perbincangan dan perkongsian maklumat dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat dan Senator, khususnya mengenai perkara-perkara yang memerlukan kefahaman serta sokongan di peringkat Parlimen,” katanya.

Mustapha berkata langkah itu juga selari dengan hasrat Perdana Menteri susulan pengumuman beliau bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip terhadap penambahan jumlah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira nisbah perwakilan kedua-dua wilayah dalam keseluruhan komposisi Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, bagi merealisasikan perkara itu, Mustapha berkata ia memerlukan proses perundangan dan sokongan yang mencukupi di Parlimen. 

“Justeru, ia tidak boleh digalas oleh wakil rakyat Sabah dan Sarawak sahaja, sebaliknya memerlukan dukungan bersama Ahli Parlimen dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya 

Mustaoha berkata Friends of BHESS diharap dapat membantu membina kefahaman tersebut dengan menyediakan ruang perbincangan yang lebih terbuka dan konstruktif, merentasi wilayah serta politik kepartian.

Pengukuhan hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak bermakna memperkukuh Persekutuan Malaysia secara keseluruhannya, katanya.

“Kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan semangat pembentukan Malaysia terus diterjemahkan melalui tindakan dengan matlamat besar untuk mempertahankan kedaulatan dan perpaduan Negara,” katabya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles