PMX ke Sabah – Lebih 3 juta rakyat tunggu khabar baik isu pemberian 40 peratus

TAWAU : Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah bagi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Sabah International Convention Centre (SICC) esok (Jumaat), menjadi perhatian apabila rakyat negeri ini menaruh harapan besar agar pertemuan itu membawa berita baik berkaitan tuntutan hak Sabah.

Aktivis sosial Sabah, Mohd. Zaki Harry Susanto, berkata lebih tiga juta rakyat Sabah kini menantikan perkembangan jelas, khususnya berkaitan pelaksanaan hak pemberian khas 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri ini.

Menurutnya, isu itu bukan lagi sekadar tuntutan politik atau bahan perdebatan, sebaliknya membabitkan hak Sabah yang perlu ditangani secara serius dan diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Apabila PMX sendiri hadir ke Sabah untuk mempengerusikan mesyuarat berkaitan pelaksanaan MA63, sudah tentu rakyat meletakkan harapan yang tinggi.

“Rakyat mahu melihat perkembangan yang lebih jelas dan meyakinkan, terutama dalam isu pemberian khas 40 peratus. Ini adalah antara perkara paling besar yang dinantikan rakyat Sabah,” katanya.

Mohd. Zaki berkata, penyelesaian isu kewangan Sabah amat penting kerana ia mempunyai hubungan langsung dengan kemampuan negeri mempercepatkan pembangunan dan menangani masalah asas yang masih dihadapi rakyat.

Katanya, tambahan sumber kewangan yang lebih adil mampu membantu kerajaan negeri memperkukuhkan usaha menangani isu bekalan air, elektrik, jalan raya, kemudahan kesihatan, pendidikan serta pembangunan kawasan luar bandar.

“Apabila kita bercakap mengenai 40 peratus, ia bukan semata-mata soal angka atau wang. Ia berkaitan kemampuan Sabah untuk bergerak lebih pantas dalam membangunkan negeri dan menyelesaikan masalah yang sekian lama membelenggu rakyat.

“Rakyat mahu melihat pembangunan yang lebih seimbang. Mereka mahu masalah air, elektrik, jalan raya dan kemudahan asas dapat ditangani dengan lebih berkesan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd. Zaki menyeru rakyat Sabah supaya memberikan ruang secukupnya kepada Anwar atau PMX untuk meneruskan usaha menyelesaikan isu MA63 tanpa tekanan dan sentimen yang boleh menjejaskan proses rundingan.

Menurutnya, rakyat perlu menilai rekod dan pencapaian secara objektif kerana pentadbiran Anwar telah menunjukkan langkah yang lebih progresif dalam menangani beberapa tuntutan Sabah berbanding pentadbiran Persekutuan terdahulu.

“Dalam memperjuangkan hak Sabah, kita perlu tegas. Tetapi dalam masa yang sama, kita juga perlu berlaku adil.

“Jika kita melihat rekod, PMX telah melakukan jauh lebih banyak dalam isu berkaitan MA63 berbanding Perdana Menteri sebelum ini.

“Jangan kerana kita masih belum mendapat semua yang kita tuntut, kita menafikan segala kemajuan yang telah berlaku,” katanya.

Beliau berkata, antara perkembangan jelas ialah peningkatan pemberian khas kepada Sabah yang sebelum ini hanya melebihi RM100 juta, tetapi kini meningkat kepada RM1.5 bilion di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar.

“Adakah RM1.5 bilion sudah mencukupi? Pada pandangan saya, belum. Sabah sememangnya berhak mengharapkan jumlah yang lebih besar.

“Namun, kita perlu mengakui peningkatan daripada lebih RM100 juta kepada RM1.5 bilion adalah satu perubahan besar dan perkembangan positif.

“Ini membuktikan bahawa apabila ada kemahuan politik dan kesediaan untuk berbincang, kemajuan boleh dicapai,” katanya.

Mohd. Zaki berkata, rakyat Sabah kini berharap momentum itu diteruskan sehingga menghasilkan penyelesaian yang lebih menyeluruh, khususnya berkaitan formula dan pelaksanaan pemberian khas 40 peratus.

Katanya, isu berkenaan perlu diselesaikan secara teliti dan berlandaskan Perlembagaan, namun proses itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk melengah-lengahkan penyelesaian.

“Rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu. Sebab itu, kita berharap mesyuarat kali ini mampu membawa perkembangan baharu dan memberikan gambaran lebih jelas mengenai hala tuju pelaksanaan hak Sabah.

“Rakyat tidak mahu sekadar mendengar kenyataan bahawa perkara ini masih dalam perbincangan. Mereka mahu melihat kemajuan, garis masa dan komitmen yang boleh diukur,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Zaki turut memuji pendekatan kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, yang disifatkannya matang dan strategik dalam mengurus hubungan dengan kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, kerajaan negeri mungkin dilihat sangat bertoleransi dan tidak menggunakan pendekatan konfrontasi dalam memperjuangkan hak Sabah, namun pencapaian yang direkodkan setakat ini membuktikan strategi rundingan dan kerjasama turut menghasilkan kemajuan.

“Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji memilih pendekatan yang matang.

“Ada yang mungkin melihat pendekatan kerajaan negeri sebagai terlalu bertoleransi dengan Putrajaya, tetapi kita perlu melihat kepada hasil.

“Dalam isu pemberian khas dan tuntutan 40 peratus, kita menyaksikan perkembangan yang positif. Perkara ini tidak akan selesai dengan emosi atau tekanan semata-mata, sebaliknya memerlukan strategi, rundingan dan ketegasan,” katanya.

Beliau berkata, hubungan baik antara kerajaan Sabah dan Persekutuan tidak seharusnya dianggap sebagai kelemahan, sebaliknya perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempercepatkan penyelesaian isu yang sekian lama tertangguh.

Mohd. Zaki berkata, rakyat Sabah juga perlu bersatu dalam memperjuangkan kepentingan negeri tanpa menjadikan isu MA63 sebagai bahan politik semata-mata.

“MA63 bukan milik mana-mana parti politik. Ia adalah soal hak dan masa depan Sabah.

“Sesiapa pun yang memerintah, tanggungjawab memperjuangkan hak Sabah mesti diteruskan.

“Pada ketika ini, kita berharap PMX dan kerajaan Persekutuan dapat menggunakan peluang mesyuarat di Sabah untuk membawa keputusan yang benar-benar memberi keyakinan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berharap Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan MA63 di SICC menjadi titik penting ke arah penyelesaian lebih besar terhadap tuntutan Sabah.

“Harapan lebih tiga juta rakyat Sabah adalah mudah. Kami mahu melihat hak Sabah dihormati, tuntutan dilaksanakan dan pembangunan dapat dipercepatkan.

“Kita berharap PMX membawa berita baik. Kita mahu melihat lebih banyak kemajuan dalam pelaksanaan MA63 dan, yang paling penting, langkah yang lebih jelas ke arah merealisasikan pemberian khas 40 peratus.

“Rakyat Sabah bersedia memberikan ruang dan masa kepada PMX, tetapi harapan rakyat juga perlu terus diberi perhatian.

“Setakat ini, kita melihat perkembangan yang positif. Justeru, kita berharap momentum ini diteruskan sehingga Sabah memperoleh apa yang sewajarnya menjadi haknya,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles