Mustapha beri jaminan murid terjejas kebakaran terus dibantu

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, memberi jaminan bahawa bantuan kepada murid dan keluarga yang terjejas akibat kebakaran di Sepanggar akan terus disalurkan bagi memastikan proses pembelajaran mereka tidak terganggu.

Menurut Mustapha, perkara itu turut dibawanya dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini supaya bantuan dapat digerakkan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak sekolah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan kepada murid SK Kibagu yang terkesan akibat kebakaran baru-baru ini.

Mustapha berkata kerajaan negeri sudah menyalurkan bantuan RM3,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terlibat, manakala bantuan tambahan daripada Jabatan Perdana Menteri juga dijangka disampaikan oleh Perdana Menteri.

“Insya-Allah, Perdana Menteri akan datang dan bertemu ketua-ketua isi rumah yang terlibat.

“Perdana Menteri sendiri akan menyampaikan bantuan daripada Jabatan Perdana Menteri kepada ketua isi rumah,” katanya.

Dalam ucapannya, Mustapha turut menyifatkan kebakaran yang mengorbankan tiga kanak-kanak itu sebagai satu peringatan kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati terhadap aspek keselamatan di rumah.

Beliau berkata, peralatan elektrik, dapur serta perkakas lain perlu diperiksa sebelum tidur bagi mengurangkan risiko kebakaran.

Mustapha turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berjaga-jaga susulan cuaca panas yang dijangka berpanjangan.

“Ini bukan sahaja ujian kepada mangsa kebakaran. Ini ujian kepada kita semua,” katanya.

Beliau turut menggalakkan murid supaya membantu memantau keselamatan di rumah masing-masing, termasuk mengingatkan ibu bapa dan ahli keluarga supaya mematikan serta mencabut palam peralatan elektrik yang tidak digunakan.

Dalam perkembangan sama, Mustapha berkata aktiviti luar perlu dikurangkan ketika keadaan jerebu bagi melindungi kesihatan murid.

“Kita akan bantu sedaya mungkin untuk memastikan pembelajaran anak-anak ini tidak terjejas,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles