Perbezaan pandangan tidak wajar dianggap ancaman

Oleh Datuk Mohd Azis Jamman, Ketua Penerangan Parti Warisan

KOTA KINABALU: Sabah tidak perlu takut kepada perbezaan pandangan hanya kerana kita mempunyai kuasa untuk menyekat seseorang daripada memasuki negeri ini.

Kuasa imigresen Sabah tidak dipertikaikan. Ia adalah hak Sabah yang mesti dipertahankan. 

Tetapi persoalan dalam kes BERSIH ialah bagaimana kuasa itu digunakan dan atas alasan apa.

Kita memperjuangkan lebih banyak kuasa untuk Sabah bukan semata-mata supaya kita boleh mengatakan kuasa itu milik kita. 

Yang lebih penting ialah bagaimana kita menggunakannya untuk melindungi kepentingan Sabah dan rakyatnya.

Jika terdapat ancaman keselamatan atau pelanggaran undang-undang, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk bertindak. 

Jika itu alasan sekatan terhadap beberapa pimpinan dan pegawai BERSIH, jelaskan setakat yang dibenarkan oleh undang-undang.

Tetapi perbezaan pandangan atau kritikan terhadap kerajaan tidak seharusnya dengan sendirinya dianggap sebagai ancaman.

 Sabah yang kuat dan yakin dengan autonominya tidak perlu takut kepada suara yang berbeza.

Kita tidak perlu bersetuju dengan BERSIH dalam semua perkara. Kerajaan juga berhak menjawab dan mempertahankan pendiriannya. 

Tetapi dalam sebuah demokrasi, perbezaan pandangan sepatutnya dijawab dengan fakta, hujah dan perbahasan.

Demokrasi bukan bermaksud semua orang mesti bersetuju dengan kerajaan. 

Demokrasi bermaksud kita cukup matang untuk menerima kritikan dan perbezaan pandangan selagi ia disuarakan secara aman dan dalam batas undang-undang.

Ketika kita menyambut Hari Kemerdekaan ke-69, kematangan kita bukan hanya diukur daripada berapa banyak kuasa yang kita miliki, tetapi bagaimana kuasa itu digunakan secara adil, bertanggungjawab dan dengan menghormati hak rakyat.

Inilah juga sebahagian daripada pembinaan negara. Sabah dan Malaysia akan menjadi lebih kuat apabila rakyat tahu mereka mempunyai ruang untuk bersuara, berbeza pendapat dan mengambil bahagian dalam proses demokrasi tanpa rasa takut.

Sebab itu kita tidak perlu memilih antara mempertahankan autonomi Sabah dengan mempertahankan demokrasi. 

Kita mesti mempertahankan kedua-duanya. Hak Sabah dan hak rakyat boleh berjalan seiring.

Jika kerajaan mempunyai alasan yang sah untuk sekatan ini, jelaskan. Jika tiada alasan yang kukuh, kerajaan wajar mempertimbangkan semula keputusan tersebut. 

Semakin besar kuasa yang kita tuntut untuk Sabah, semakin tinggi tanggungjawab kita untuk menggunakannya dengan telus dan berhemah.

Kita mahu Sabah yang kuat kerana haknya dihormati, tetapi juga dihormati kerana cara kita menggunakan hak dan kuasa itu. Itulah Sabah yang matang, demokratik dan yakin dengan dirinya sendiri.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles