KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud hari ini meninjau situasi dan melawat mangsa kebakaran di kampung Numbak, Sepanggar dekat sini.
Beliau diiringi Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Dato’ Sri Dr Haji Sabin Samitah.
Bercakap kepada pemberita selepas menyantuni mangsa kebakaran, Mustapha berkata lebih 200 rumah atas air musnah dalam kebakaran yang menyaksikan
tiga kanak-kanak, termasuk dua perempuan terkorban dalam insiden itu awal pagi ini.
Menurutnya keluarga mangsa kebakaran tersebut akan ditempatkan di dua pusat penempatan sementara, masing-masing di Dewan Serbaguna Kampung Likas dan Dewan Serbaguna Damai.
Sehubungan itu, Mustapha meminta mangsa kebakaran terbabit supaya mendaftar dengan pihak kuasa bagi memudahkan pengurusan penempatan dan pengagihan bantuan.
“Saya juga akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan supaya dapat menyalurkan bantuan, termasuk pakaian sekolah dan buku teks kepada kanak-kanak sekolah yang terkesan dengan bencana kebakaran itu,” katanya.
Sempena lawatan itu, Mustapha menyampaikan sumbangan awal untuk keluarga kepada tiga kanak-kanak bawah umur 10 tahun yang rentung dalam kebakaran tersebut.
