KOTA KINABALU: Jualan Mega KTC yang bermula hari ini mendapat sambutan yang sangat hebat daripada orang ramai.
Ketua Pegawai Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) Datuk Dexter Lau berkata Jualan Mega selama tiga hari itu (sehingga Ahad) menawarkan potongan harga yang tinggi dan barangan keperluan lebih murah.
Beliau menzahirkan rasa gembira terhadap sambutan baik itu yang menurutnya bakal menjadi tanda aras kejayaan bagi KTC menuju ke era kecemerlangan dalam dunia perniagaan.
“Kejayaan ini (sambutan) sangat bagus dan berharap orang ramai dapat memanfaatkan Jualan Mega KTC tahun ini.
“Kali ini, kita mempunyai jualan tidak terbatas, dan semua jualan ini bukan jualan stok lama. Semuanya adalah jualan baru. Inilah semangat KTC.
“Kami tahu ramai yang menghadapi kesukaran (akibat kos sara hidup yang semakin meningkat) dan inilah cara kami memberi balik atau menolong pengguna,” katanya ketika ditemui di lokasi Jualan Mega di perkarangan Wisma KTC, Kolombong dekat sini.
Datuk Dexter menegaskan penganjur Jualan Mega KTC tidak berniat untuk bersaing dengan program kerajaan Jualan Rahmah.
“Kami tidak berhasrat cabar atau bersaing dengan sesiapa. Kami cuba membantu rakyat…itu pun cuma tiga hari sahaja,” katanya.
Tinjauan menunjukkan Jualan Mega KTC menawarkan potongan harga barangan keperluan sehingga 80 peratus manakala Program Jualan Rahmah yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menawarkan potongan harga antara 10% hingga 30% bagi barangan keperluan.
Datuk Dexter berkata KTC bercadang untuk memperluaskan program Jualan Mega itu ke daerah lain di Sabah pada masa depan.
Katanya syarikat KTC juga berhasrat untuk menganjurkan Jualan Mega di Sarawak.
Datuk Dexter berkata atas permintaan ramai, KTC berkemungkinan akan menyertai Ekspo Antarabangsa Sabah ke-11 atau Sabah International Expo (SIE) 2026.
SIE dijangka berlangsung dari 2 hingga 6 September 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah.
“Jika semuanya berjalan lancar, KTC akan sediakan 30 reruai (booth) sempena SIE,” katanya.
