MoU buka semula 1,000 hektar sawah terbiar di Kota Marudu

jKOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyasarkan pembukaan semula kira-kira 1,000 hektar tanah sawah terbiar di Kota Marudu menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Arise Consulting (Sabah) Sdn. Bhd. dan ABS Greentech Sdn. Bhd.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan , Datuk Jamawi Jaafar berkata, MoU yang dimeterai di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini, merupakan MoU keenam bagi tahun ini dalam usaha memperkasakan industri padi negeri.

Beliau berkata, inisiatif itu selaras dengan sasaran Sabah mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus tahap sara diri (SSL) beras menjelang 2030.

“Saya yakin dan percaya dengan adanya MoU ini, lebih-lebih lagi syarikat ini telah melaksanakan penanaman padi di Seberang Perai, Pulau Pinang, teknologi yang digunakan di sana dapat dipindahkan kepada petani di Sabah.

“Kalau kita lihat media dua atau tiga bulan lalu, antara pengeluar padi terbesar ialah Pulau Pinang berbanding Sabah. Jadi, ada yang bertanya, kenapa di Pulau Pinang boleh tanam padi banyak tetapi di Sabah kurang?

“Jadi, yang di Pulau Pinang kita bawa ke Sabah supaya teknologi itu dapat dipindahkan dan petani kita dapat mengusahakan semula kawasan-kawasan padi yang terbiar,” katanya ketika ditemui media selepas upacara tersebut.

Jamawi berkata, sebahagian kawasan sawah yang akan dibangunkan semula itu telah terbiar sehingga 10 tahun, manakala kawasan lain ditinggalkan sekurang-kurangnya lima hingga enam tahun.

Menurutnya, keadaan itu menjadi antara punca penurunan SSL beras Sabah apabila banyak tanah sawah yang sesuai untuk tanaman padi ditinggalkan oleh generasi pertama, kedua dan ketiga.

“Generasi muda sudah tidak lagi mengusahakannya, kemungkinan kerana kekurangan teknologi dan perkara-perkara yang boleh menarik minat mereka.

“Saya yakin MoU dengan Arise Consulting dan ABS Greentech, dengan membawa pelbagai teknologi baharu seperti yang ditunjukkan dalam video tadi, akan dapat menaikkan semangat orang muda,” katanya.

Beliau berkata, antara pengisian MoU itu ialah pemindahan teknologi daripada syarikat kepada pemilik tanah dan golongan muda di kawasan berkenaan.

Jamawi berkata, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan II, Datuk Hendrus Anding yang juga ADUN Tandek, turut memberi jaminan akan memastikan pembangunan kawasan berkenaan bukan sekadar meningkatkan penanaman padi, malah menarik seramai mungkin anak muda menyertai industri itu.

Katanya, golongan muda bukan sahaja akan dilatih menanam padi, tetapi turut didedahkan kepada penggunaan teknologi dron dan teknologi moden lain yang akan diperkenalkan syarikat terbabit.

Dalam pada itu, Jamawi berkata, beliau turut meminta Setiausaha Tetap kementerian melihat potensi untuk memperluaskan kerjasama dengan syarikat berkenaan dalam bidang pertanian lain.

Katanya, syarikat itu bukan sahaja mempunyai kepakaran dalam teknologi padi, malah pengurusan serangga perosak, pengurusan perosak bersepadu (IPM) serta pengurusan ladang.

“Mereka mempunyai rakan kongsi dari luar negara, termasuk Belanda dan negara-negara lain, yang boleh digunakan oleh Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan untuk mendapatkan pandangan, nasihat dan tunjuk ajar,” katanya.

Jamawi berkata, MoU itu melibatkan tempoh 10 tahun dan pembangunan tanah akan dilaksanakan menerusi konsep mini estet dengan pengurusan yang lebih tersusun.

Menurutnya, syarikat akan menyewa tanah daripada pemilik tanah dan bekerjasama dengan petani serta pemilik tanah dalam membangunkan semula kawasan berkenaan.

“Pemilik tanah juga diberi peluang untuk bekerja bersama-sama syarikat ini dalam membangunkan kawasan tanah tersebut,” katanya.

Sementara itu, wakil syarikat berkata, pelaburan bagi pembangunan satu hektar tanah dianggarkan hampir RM10,000, dengan syarikat mengambil pendekatan konservatif dan mengunjurkan tempoh kira-kira enam tahun bagi mencapai titik pulang modal berikutan kos pelaburan awal yang tinggi.

Katanya, tanah yang telah lama terbiar perlu dihidupkan semula sebelum teknologi baharu dapat diperkenalkan, justeru peningkatan hasil dijangka berlaku secara berperingkat apabila tanah kembali produktif.

Syarikat itu turut berkata, pendekatan yang digunakan menggabungkan teknologi moden dan tradisional dari tiga negara, iaitu India, Belanda dan Indonesia, dengan teknologi disesuaikan mengikut keadaan tanah dan iklim Sabah.

Bagi fasa awal kira-kira 200 hektar, syarikat menjangkakan antara satu hingga dua pelabur, dengan jumlah keseluruhan pelabur berpotensi sekitar 300 orang.

Bagaimanapun, jumlah sebenar hanya akan diketahui selepas proses pemuktamadan antara pelabur dan pemilik tanah selesai.

Ketika ini, empat kampung terlibat, termasuk Tengkananon dan Marion di Kota Marudu, manakala dua lagi kampung sedang dimuktamadkan.

Syarikat itu berkata pihaknya turut mencari kawasan lain untuk diperluaskan, termasuk Kota Belud, Keningau, Ranau dan Papar, namun Kota Marudu dipilih sebagai kawasan permulaan kerana mempunyai banyak tanah terbiar serta mendapat sokongan pemilik tanah dan pelabur.

Menurutnya, sasaran jangka panjang adalah untuk membangunkan sehingga 10,000 hektar tanah sawah di Sabah.

Katanya, Sabah mempunyai kira-kira 25,000 hektar kawasan sawah padi, namun hanya sekitar separuh daripadanya diusahakan ketika ini.

LPBS dan Jabatan Pertanian Sabah sedang mengumpul data berkaitan kawasan sawah bagi mengenal pasti potensi untuk pembangunan dan pengaktifan semula tanah terbiar.

Syarikat itu berkata, pendekatan pembangunan selama 10 tahun diperlukan kerana inisiatif berkenaan bukan projek jangka pendek, sebaliknya bertujuan membangunkan tanah, pelabur serta generasi muda secara berperingkat.

Hadir sama Pembantu Menteri I, Datuk Haji Ruslan Muharam; Timbalan Pengerusi Lembaga Padi dan Beras Sabah, Datuk Musbah Jamil; Setiausaha Tetap, Kementerian Datuk Ts. Hj. Jifrin Hj. Mohamad;  Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan), Awg Dzulkernaim Awg Hassan; Pengurus Besar, Lembaga

Padi dan Beras Sabah,  Datuk Dr. Ts. Ramle Hj. Kasin; Ketua Pegawai Eksekutif ARISE Group Dato’ Whitney Ho; Pengarah Urusan ARISE Sabah Sdn. Bhd, Datuk George Bandusena; Pengarah Urusan dan Pengasas ABS Greentech Sdn. Bhd., R.M. Ravichandar.

Selepas program itu, Jamawi dengan diiringi Ruslan, Jiffrin serta Pengurus Besar Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA),  Burhan Japar mengadakan kunjungan hormat dan bermesyuarat dengan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Dato Sri Dr. Haji Sabin Samitah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles