KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah Datuk Mustapha Sakmud menyambut baik kehadiran Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ke Majlis Perasmian Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka.
Beliau berkata kehadiran Ketua Menteri bersama pimpinan GRS mencerminkan hubungan dan semangat kerjasama yang terus dipupuk antara kepimpinan Sabah dengan KEADILAN di peringkat Persekutuan.
Kerjasama seumpama itu memastikan agenda pembangunan dan kepentingan rakyat Sabah terus diberikan perhatian.
“Sebagai parti yang dipimpin oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, KEADILAN mempunyai tanggungjawab besar dalam memimpin Kerajaan MADANI untuk memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara inklusif, seimbang dan mengambil kira keperluan serta keunikan setiap wilayah, termasuk Sabah.
“Bagi KEADILAN Sabah, kerjasama ini bukan semata-mata soal politik. Keutamaan kita ialah memastikan kestabilan dapat diterjemahkan kepada pembangunan, peluang ekonomi, kemudahan asas yang lebih baik serta penyelesaian terhadap isu-isu yang dekat dengan kehidupan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata KEADILAN akan terus konsisten memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah, termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dalam kerangka Persekutuan yang adil serta menghormati kedudukan dan keistimewaan Sabah.
“KEADILAN Sabah juga menyampaikan suara rakyat Sabah dan Sarawak agar Kuota Diesel di naikkan ke 500 liter dan mengembalikan Kuota Petrol Budi Madani ke 300 liter seperti sebelum ini. Untuk mengurangkan ketirisan, wakil Pembahas Sabah, Pn. Junaidah Makku mencadangkan agar pengeluaran dihadkan ke 125 liter seminggu.
“Saya turut menghargai kehadiran pimpinan dan wakil rakyat GRS, antaranya Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Datuk Rubin Balang, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Datuk James Ratib, Datuk Mohd Razali Mohd Razi dan Encik Syed Ahmad Syed Abas,” katanya.
Beliau berkata kehadiran mereka ke Kongres Nasional KEADILAN membawa mesej bahawa perbezaan parti tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kita duduk bersama dan membina persefahaman apabila melibatkan kepentingan Sabah dan rakyatnya.
Mustapha berkata KEADILAN Sabah akan terus menjadi jambatan yang memperkukuh hubungan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan, sambil memastikan suara, aspirasi dan keperluan rakyat Sabah sentiasa berada dalam agenda utama Kerajaan MADANI.
