Kenyataan ADUN Kapayan Chin Teck Ming
KOTA KINABALU: Salam Sejahtera dan selamat petang.
Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan media yang hadir pada sidang media ini.
Pada pagi ini, saya telah menyerahkan secara rasmi dengan tangan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dokumen Permohonan Semakan Kehakiman yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Kota Kinabalu berhubung keputusan beliau bertarikh 29 April 2026 yang menolak Usul Persendirian Kapayan saya mengenai pelaksanaan hak perlembagaan Sabah ke atas empat puluh peratus (40%) hasil Persekutuan.
Izinkan saya menjelaskan kepada rakyat Sabah bahawa tindakan undang-undang ini bukan satu tindakan yang bersifat peribadi terhadap Speaker, bukan bertujuan mempertikaikan kewibawaan institusi Speaker, dan bukan juga suatu cubaan untuk mencampuri urusan perjalanan Dewan Undangan Negeri.
Sebaliknya, tindakan ini diambil bagi membolehkan Mahkamah menjalankan fungsi perlembagaannya untuk menentukan sama ada proses membuat keputusan tersebut telah dilaksanakan menurut undang-undang, Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Sabah dan prinsip-prinsip keadilan asasi.
Dalam sebuah negara yang berteraskan kedaulatan undang-undang (Rule of Law), setiap keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa awam hendaklah tertakluk kepada undang-undang.
Tiada siapa yang berada di atas undang-undang, dan pada masa yang sama, semua pihak berhak mendapat perlindungan undang-undang.
Atas sebab itu, saya ingin menegaskan bahawa saya tidak meminta Mahkamah menentukan jumlah hak 40% Sabah, dan saya juga tidak meminta Mahkamah mengarahkan Speaker menerima Usul Persendirian saya secara automatik.
Apa yang saya pohon ialah supaya Mahkamah menentukan sama ada keputusan tersebut telah dibuat secara sah, adil, rasional dan selaras dengan undang-undang.
Sekiranya Mahkamah berpendapat bahawa terdapat isu yang wajar dipertimbangkan, maka biarlah perkara tersebut diputuskan mengikut proses kehakiman yang sewajarnya.
Saya menghormati sepenuhnya Mahkamah dan saya tidak akan mengulas mengenai merit prosiding yang kini sedang berada di hadapan Mahkamah.
Saya juga menyeru semua pihak supaya menghormati proses kehakiman yang sedang berjalan.
Namun demikian, saya berhak menjelaskan kepada rakyat Sabah mengapa tindakan ini terpaksa diambil.
Usul Persendirian yang saya kemukakan pada 2 April 2026 bertujuan mendapatkan pendedahan jumlah hasil Persekutuan yang dikutip daripada Sabah bagi tahun 2022 hingga 2025, termasuk asas pengiraan hak Sabah di bawah Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Pada 29 April 2026, saya dimaklumkan bahawa usul tersebut ditolak.
Selepas menerima keputusan tersebut, saya tidak terus membawa perkara ini ke Mahkamah.
Sebaliknya, pada 19 Mei 2026 saya telah menulis kepada Yang Berhormat Speaker untuk memohon penjelasan lanjut mengenai keputusan tersebut.
Saya meminta agar dijelaskan bahagian mana dalam usul yang dikatakan bercanggah dengan Peraturan Tetap 43(2), apakah asas undang-undang yang digunakan dalam membuat keputusan tersebut, serta penjelasan lanjut yang membolehkan saya memahami keputusan berkenaan.
Namun, sehingga hari ini saya tidak menerima sebarang jawapan terhadap surat tersebut.
Maka, selepas semua saluran yang munasabah digunakan untuk mendapatkan penjelasan, saya mengambil keputusan untuk mendapatkan penentuan daripada Mahkamah melalui saluran undang-undang yang sah.
Saya percaya bahawa tindakan ini bukan sahaja melibatkan kepentingan saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, tetapi juga melibatkan kepentingan semua Ahli Dewan pada masa kini dan masa hadapan.
Setiap Ahli Dewan berhak mengetahui bagaimana sesuatu keputusan mengenai usul mereka dibuat.
Setiap Ahli Dewan berhak mengetahui bagaimana Peraturan-Peraturan Tetap ditafsirkan dan digunakan.
Dan setiap Ahli Dewan berhak mengharapkan bahawa sesuatu keputusan yang menjejaskan hak legislatif mereka dibuat secara telus, konsisten dan menepati undang-undang.
Sekiranya alasan bagi sesuatu keputusan tidak dapat difahami, atau tidak diperjelaskan walaupun penjelasan diminta secara rasmi, maka keadaan sedemikian berpotensi menimbulkan ketidakpastian kepada semua Ahli Dewan dalam melaksanakan fungsi legislatif mereka.
Perkara ini bukan sekadar mengenai seorang Ahli Dewan atau sebuah usul persendirian.
Perkara ini menyentuh prinsip tadbir urus yang baik, akauntabiliti institusi dan keyakinan rakyat terhadap proses demokrasi.
Saya juga ingin menegaskan bahawa tindakan semakan kehakiman ini tidak seharusnya ditafsirkan sebagai cubaan untuk mewujudkan konflik antara badan kehakiman dan badan legislatif.
Sebaliknya, dalam sistem demokrasi berperlembagaan, setiap institusi mempunyai peranan masing-masing sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan.
Mahkamah menjalankan fungsi kehakimannya mengikut undang-undang. Manakala Dewan Undangan Negeri menjalankan fungsi legislatifnya mengikut Peraturan Tetap. Kedua-dua institusi tersebut saling melengkapi dalam memastikan prinsip kedaulatan undang-undang terus dipelihara.
Saya ingin memberi jaminan bahawa saya akan menghormati sepenuhnya apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh Mahkamah
Saya juga berharap semua pihak akan memberikan ruang kepada Mahkamah untuk menjalankan tugasnya secara bebas, tanpa sebarang tekanan atau spekulasi.
Akhir sekali, saya ingin menegaskan bahawa perjuangan mendapatkan hak Sabah akan terus diteruskan melalui saluran yang sah di sisi undang-undang.
Hak Sabah bukanlah suatu pemberian atas dasar ihsan.
Hak tersebut adalah hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, dan segala usaha untuk memastikan pelaksanaannya hendaklah dilakukan melalui proses demokrasi dan undang-undang.
Saya akan terus menjalankan tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat untuk mempertahankan prinsip ketelusan, akauntabiliti, kedaulatan undang-undang dan hak-hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
Saya menyerahkan perkara ini kepada kebijaksanaan Mahkamah dan saya tidak akan mengulas lebih lanjut mengenai isu-isu yang menjadi subjek prosiding yang sedang berjalan.
Sekali lagi, saya ingin menegaskan bahawa Saya tidak memohon Mahkamah menentukan hak 40% Sabah hari ini.
Saya hanya memohon Mahkamah menentukan sama ada keputusan menolak Usul Persendirian saya dibuat mengikut undang-undang, Peraturan Tetap dan prinsip keadilan asasi. Itulah inti pati tindakan ini.
