3,655.60 HEKTAR TANAH DILEPAS HAK KEPADA KERAJAAN SARAWAK BUKTI KERAJAAN MADANI MENGHORMATI MA63 – MUSTAPHA

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan untuk melepaskan hak Persekutuan ke atas beberapa tapak strategik di Sarawak kepada Kerajaan Negeri sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya keputusan itu membuktikan bahawa Kerajaan MADANI melihat MA63 sebagai komitmen yang sentiasa diterjemahkan mengikut realiti semasa pembangunan wilayah dan kepentingan rakyat Sabah serta Sarawak.

Terbaharu, Mustapha berkata Memorandum Jemaah Menteri daripada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mencadangkan pelepasan hak Persekutuan ke atas tapak Rajang Area Security Command (RASCOM) di Sibu kepada Kerajaan Negeri Sarawak. 

“Cadangan tersebut melibatkan empat kawasan iaitu Nanga Tada, Nanga Jagau, Nanga Ngungun dan Nanga Sekuau dengan keluasan keseluruhan 3,655.60 hektar,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai sebahagian daripada proses tersebut, Mustapha berkata kerajaan Negeri Sarawak akan membuat pembayaran balik sebanyak RM9,985,408.50 bagi kos yang terlibat dalam pengambilan balik tanah serta bayaran cukai tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan di Sarawak. 

Pendekatan itu menunjukkan bahawa pelaksanaan MA63 dilaksanakan secara teratur, berlandaskan undang-undang dan melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, katanya.

Menurutnya keputusan itu melengkapkan pelaksanaan keputusan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang sebelum ini turut menyaksikan penyerahan semula beberapa lot tanah Persekutuan yang tidak dibangunkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak bagi membolehkan kawasan tersebut dirancang dan dimajukan mengikut keutamaan pembangunan negeri.

“Pendekatan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pelaksanaan MA63 telah membolehkan pelbagai isu yang tertangguh sekian lama diselesaikan secara berperingkat tanpa menjejaskan hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan-kerajaan negeri. 

“Komitmen ini turut dizahirkan melalui pelbagai pencapaian termasuk peningkatan Pemberian Khas Interim Sabah dari RM600juta kepada RM1.5 bilion setahun,” kata beliau.

Mustapha yakin dan percaya usaha itu akan terus memperkukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia serta memastikan setiap keputusan yang diambil benar-benar membawa manfaat kepada rakyat di kedua-dua wilayah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles