KOTA KiNABALU: Aktivis masyarakat, Jaesman Gipin menzahirkan sokongan terhadap seruan anggota Parlimen Tuaran Datuk MadiusTangau supaya Kementerian Pendiddikan (KPT) memperkenalkan inisiatif bantuan yuran pengajian percuma khusus untuk anak Sabah yang melanjutkan pengajian melalui sistem UPU di institusi pendidikan tinggi awam di Sabah.
Beliau berkata cadangan itu adalah tepat pada masanya dan wajar disokong oleh semua pihak, khususnya golongan pelajar.
Sehubungan itu, Jaesman menyeru Madius supaya turut berjuang merealisasikan cadangan atau janji kerajaan Sabah untuk menyediakan pendidikan percuma di institusi pendidikan tinggi milik kerajaan negeri di University College Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS).
Sebelum PRN Sabah tahun lepas, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sendiri menzahirkan hasrat kerajaan GRS untuk menyediakan pendidikan percuma di UCSF sekiranya diberi mandat memerintah negeri ini.
“Sebagai anggota GRS, kita berharap MP Tuaran akan bangkit menunjukkan keikhlasan dan berjuang habis-habisan merealisasikan pendidikan percuma sekurang-kurangnya satu IPTS di UCSF milik kerajaan Sabah seelok-eloknya sebelum PRU ke-16, ” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jaesman yakin pendidikan percuma itu mampu dilaksanakan di Sabah dengan mengambil kira kejayaan kerajaan GPS di Sarawak menyediakan pendidikan percuma di empat unversiti milik kerajaan negeri jiran itu.
Empat universiti milik kerajaan Sarawak yang menawarkan skim pendidikan Tinggi percuma (FTES) kepada rakyat Sarawak itu ialah Universiti Teknologi Swinburne Kuching, Universiti Curtin Malaysia Miri, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Sibu dan Kolej Universiti i-CATS Kuching.
Jaesnan berkata rakyat juga berharap pemberian khas oleh kerajaan persekutuan kepada Sabah sebanyak RM1.5 bilion dapat sedikit sebanyak membantu merealisasikan wawasan murni tersebut.
“Tiada sebab kerajaan negeri GRS tidak boleh melaksanakan pendidikan percuma di UCSF apatah lagi kedudukan ejonomi kerajaan diwar-warkan baik. Kalau kerajaan Sarawak boleh, Sabah pun sepatutnya boleh.
“Kita harap cadangan kerajaan Sabah menyediakan pendidikan percuma di UCSF ini bukan sekadar janji retorik semata-mata meraih sokongan rakyat,” katanya.
Oleh itu, Jaesman berharap MP Tuaran yang juga ADUN Tamparuli yang vokal di Parlimen, akan membangkitkan isu pendidikan percuma di UCSF dalam sesi soal jawab atau sesi perbahasan sidang DUN yang akan datang.
