Jamu Haus Borneo berpotensi jana pendapatan luar bandar – Jamawi

KOTA KINABALU: Usaha memperkasakan tanaman herba dan perubatan tradisional berpotensi membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat luar bandar, khususnya golongan wanita, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan outlet Jamu Haus Borneo di Anjung Selera Likas yang diusahakan oleh usahawan Sabah, Zaklean Ansari Zambri, menerusi kerjasama dengan rakannya dari Indonesia, Dr. Rianti Maharani. 

Jamawi berkata, inisiatif tersebut selari dengan hasrat kementerian untuk mempelbagaikan usaha kebun dapur memandangkan kebanyakan bahan yang digunakan dalam penghasilan jamu mudah diperoleh dan boleh ditanam di sekitar rumah.

“Saya telah meminta Puan Zaklean untuk mengadakan kursus-kursus berkaitan kaedah memproses tanaman yang ditanam di persekitaran rumah dan mempunyai nilai perubatan.

“Langkah ini penting supaya wanita di luar bandar dapat memperoleh pengetahuan, kecekapan dan kemahiran dalam memproses tanaman tersebut, sekali gus memperkasa mereka untuk menjana pendapatan serta meningkatkan taraf ekonomi keluarga dan masyarakat setempat,” katanya.

Jamawi berkata, meskipun terdapat tanggapan bahawa jamu dan perubatan tradisional semakin ketinggalan dalam arus kemodenan, perkembangan semasa menunjukkan semakin ramai masyarakat kembali memberi perhatian kepada tanaman herba dan perubatan tradisional.

“Jika kita melihat perkembangan semasa, semakin ramai masyarakat yang beralih kepada penggunaan tanaman herba dan perubatan tradisional kerana manfaatnya yang terbukti.

“Justeru, bidang ini mempunyai potensi dan peluang yang sangat luas untuk diterokai,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Zaklean dan Dr. Yanti atas kesediaan mereka berkongsi pengalaman, ilmu dan kepakaran dalam bidang berkenaan.

Jamawi berharap kerjasama yang terjalin itu dapat terus diperkukuh dan diperluaskan bersama Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan pada masa hadapan bagi memperkasa industri herba serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles