ASTAKA Anjur Kejohanan Sepaktakraw Piala Presiden di Tawau Sept ini

KOTA KINABALU: Persatuan Sepaktakraw Negeri Sabah (ASTAKA) telah mengadakan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi, di sini pada Sabtu.

Mesyuarat yang dipengerusikan Presiden ASTAKA, Datuk Hj. Roslie Hj. Ibrahim itu

telah membincangkan pelbagai agenda penting berkaitan pembangunan dan hala tuju sukan sepak takraw di Negeri Sabah. 

Antara agenda utama yang diberi perhatian ialah persiapan Kejohanan Sepaktakraw Piala Presiden Kali Ke-42 Tahun 2026, yang dijadualkan berlangsung di Tawau selama tiga hari bermula 25 September.

Menurut Setiausaha Kehormat ASTAKA,  Suhaimi Abdullah, kejohanan berprestij ini dijangka menghimpunkan seramai 242 atlet Sepaktakraw dengan penyertaan daripada 22 Ahli Gabungan ASTAKA yang mewakili daerah-daerah di seluruh Sabah.

Empat kategori utama akan dipertandingkan iaitu Regu Lelaki, Regu Wanita, Quadrant Lelaki dan Quadrant Wanita.

Beliau turut memaklumkan bahawa penganjuran kejohanan itu bukan sahaja menjadi platform untuk mengenal pasti bakat-bakat baharu, malah menjadi medan terbaik dalam memperkukuhkan hubungan silaturahim serta semangat kesukanan dalam kalangan warga sepak takraw Sabah.

Sementara itu, Presiden ASTAKA merangkap Naib Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Hj. Roslie Hj. Ibrahim, berharap semua pihak termasuk Ahli Gabungan, jawatankuasa penganjur, agensi kerajaan dan rakan strategik dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan kejohanan tahunan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Beliau menegaskan bahawa kejohanan ini merupakan platform penting untuk mencungkil bakat-bakat baharu dari seluruh pelusuk Negeri Sabah sebagai pelapis pasukan negeri, di samping memperkukuhkan perpaduan dan semangat kekeluargaan dalam kalangan komuniti sepak takraw.

Dalam mesyuarat tersebut, Datuk Presiden turut memaklumkan bahawa ASTAKA telah menerima kelulusan bagi pembinaan Dewan Akademi Sepaktakraw ASTAKA Sabah, yang bakal menjadi aset penting milik persatuan dalam memperkukuhkan program pembangunan sukan sepak takraw di negeri ini.

Pembinaan dewan akademi tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan lebih ramai atlet berkualiti, jurulatih serta pegawai teknikal yang berdaya saing, sekali gus memastikan kesinambungan kecemerlangan pasukan Sepaktakraw Sabah yang telah muncul sebagai antara penyumbang pingat emas terbanyak kepada kontinjen Sabah di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) sejak lebih sedekad yang lalu.

ASTAKA komited untuk terus memperkasa pembangunan sukan sepak takraw di semua peringkat demi memastikan Sabah terus kekal sebagai antara kuasa utama sepak takraw negara.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles