Oleh Sam
TAMBUNAN : Golongan muda di peringkat kampung di seru agar terus berusaha mempertingkatkan kemahiran, menimba ilmu pengetahuan dan berani untuk maju ke hadapan dalam persaingan hidup abad ini.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) N.39 Tambunan, Dato’ Victor P. Paut berkata, dalam situasi persaingan hidup di zaman yang moden ini, anak-anak muda harus membulatkan tekad untuk terus melipatgandakan usaha untuk bersaing.
“Kampung bukan penghalang besar untuk maju dan bandar juga bukan medan sebenar mencari kesenangan.
Setiap kejayaan memerlukan usaha, kesabaran, disiplin dan semangat yang tidak pernah mengenal erti putus asa walau di mana saja kita berada.
Oleh itu, beliau menyeru kepada seluruh warga Kg Lintuhun, khususnya golongan muda, supaya terus berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan daya saing
Victor berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Sambutan Pesta Kaamatan Kg. Lintuhun, Tambunan pada Sabtu.
Menurutnya, dunia hari ini berubah dengan begitu pantas dan anak-anak muda tidak boleh hanya sekadar menjadi penonton kepada perubahan, tetapi mesti juga menjadi sebahagian daripada perubahan tersebut.
“Anak-anak muda Tambunan perlu berani bermimpi besar.
“Jangan takut untuk mencipta kejayaan dalam bidang pendidikan, pertanian moden, perniagaan, teknologi dan pelbagai sektor lain.
“Kampung bukan penghalang untuk mencapai kejayaan kerana sudah ramai anak kampung yang telah membuktikan bahawa dengan usaha dan kesungguhan, mereka mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sesiapa sahaja,” katanya lagi.
