KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menggesa supaya Rang Undang-Undang Penjara (Pindaan) 2026 dirujuk semula kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi membolehkan penelitian yang lebih menyeluruh dilakukan sebelum ia diluluskan oleh Dewan Rakyat.
Ketika membahaskan rang undang-undang itu hari ini, Madius berkata beliau menyokong usaha mereformasikan institusi penjara negara ke arah yang lebih moden dan berpaksikan hak asasi manusia, namun menegaskan terdapat satu peruntukan yang amat membimbangkan iaitu cadangan memasukkan Seksyen Baharu 63A berkaitan perlindungan terhadap guaman dan prosiding undang-undang kepada pegawai penjara serta individu yang bertindak di bawah arahan Komisioner Jeneral.
Menurut beliau, walaupun peruntukan itu dikatakan bertujuan melindungi pegawai yang bertindak dengan niat baik atau “good faith”, ia sebenarnya berpotensi mewujudkan imuniti yang terlalu luas sehingga menjejaskan hak mangsa untuk mendapatkan keadilan melalui proses mahkamah.
“Dalam sebuah negara yang berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, tiada sesiapa pun yang berada di atas undang-undang dan tiada institusi yang seharusnya kebal daripada prinsip akauntabiliti,” katanya.
Madius turut merujuk kepada tragedi di Penjara Taiping pada Januari 2025 yang mengorbankan seorang tahanan warga emas, Gan Chin Eng, selepas didakwa berlaku penggunaan kekerasan berlebihan terhadap lebih 100 tahanan ketika proses pemindahan.
Menurutnya, laporan inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) turut mendedahkan kelewatan rawatan perubatan kecemasan serta dakwaan cubaan memalsukan rekod bagi menutup salah laku yang berlaku.
Katanya, sekiranya Seksyen 63A telah berkuat kuasa ketika insiden itu berlaku, terdapat kemungkinan pihak yang terlibat akan menggunakan peruntukan tersebut sebagai benteng perlindungan daripada tindakan undang-undang sivil oleh mangsa atau keluarga mereka.
Selain itu, Madius berpandangan bahawa cadangan memasukkan kuasa berkenaan terus ke dalam Akta induk bukanlah pindaan teknikal semata-mata, sebaliknya merupakan perubahan dasar yang besar kerana ia memberikan kedudukan undang-undang yang lebih kukuh kepada kuasa tersebut dan menjadikannya lebih sukar dicabar.
Beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan dilihat tergesa-gesa untuk meluluskan peruntukan berkenaan sedangkan pelaksanaan syor-syor SUHAKAM susulan tragedi Penjara Taiping masih belum diperjelaskan sepenuhnya.
Menurut beliau, sebelum sebarang keputusan dibuat, pandangan pihak berkepentingan seperti SUHAKAM, Majlis Peguam, pakar hak asasi manusia, bekas pegawai penjara, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Jabatan Peguam Negara perlu terlebih dahulu diperoleh dan diteliti.
“Jika seksyen ini benar-benar diperlukan, ia tidak akan rugi apa-apa melalui proses penelitian yang lebih teliti. Namun jika terdapat kelemahan, kecacatan atau risiko penyalahgunaan kuasa, maka Parlimen mempunyai tanggungjawab untuk membetulkannya sebelum terlambat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau dengan tegas mencadangkan supaya Rang Undang-Undang Penjara (Pindaan) 2026 dirujuk semula kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memastikan setiap implikasi undang-undang, hak asasi dan aspek akauntabiliti diteliti secara menyeluruh demi mengelakkan tragedi seperti yang berlaku di Penjara Taiping daripada berulang pada masa hadapan.
