TAWAU: Tindakan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil tindakan tatatertib terhadap dua pelajarnya tidak seharusnya dipolitikkan atau dilihat sebagai usaha menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya perlu dinilai dalam konteks pematuhan terhadap peraturan dan tata kelola institusi pendidikan tinggi.
Aktivis masyarakat Sabah, Mohd Zaki Harry Susanto, berkata kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Adam Adli Abdul Halim yang dilaporkan menggesa UMS meneliti semula tindakan tatatertib berkenaan wajar dihormati sebagai pandangan peribadi, namun pihak universiti juga mempunyai hak dan tanggungjawab untuk menguatkuasakan peraturan sedia ada.
Menurutnya, setiap institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mempunyai peraturan, kod etika dan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh semua pelajar tanpa mengira latar belakang atau kedudukan mereka.
“Sebagai sebuah universiti awam yang tertakluk kepada pelbagai akta, peraturan dan prosedur pentadbiran, UMS mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan tatatertib sekiranya terdapat pelanggaran terhadap peraturan yang ditetapkan.
“Kita tidak boleh hanya bercakap mengenai hak kebebasan bersuara, tetapi pada masa sama mengabaikan tanggungjawab dan disiplin yang menjadi asas kepada sesebuah institusi pendidikan,” katanya ketika diminta mengulas isu berkenaan, hari ini.
Beliau berkata, prinsip kebebasan bersuara yang diamalkan dalam negara demokrasi bukanlah hak mutlak yang membolehkan seseorang bertindak tanpa batasan atau melangkaui peraturan yang telah dipersetujui.
Katanya, pelajar universiti sememangnya digalakkan menyuarakan pandangan, mengemukakan kritikan serta terlibat dalam perbahasan intelektual, namun semua itu perlu dilakukan mengikut saluran yang betul dan menghormati prosedur yang ditetapkan oleh pihak universiti.
“Jika terdapat dakwaan bahawa pelajar berkenaan melanggar peraturan universiti, maka pihak pengurusan berhak menjalankan proses siasatan dan prosiding tatatertib yang sewajarnya.
“Proses ini tidak bermaksud seseorang itu bersalah secara automatik, sebaliknya memberi ruang kepada semua pihak untuk mengemukakan penjelasan sebelum keputusan dibuat,” katanya.
Mohd Zaki berkata, campur tangan pihak luar sebelum proses dalaman universiti selesai dikhuatiri boleh menjejaskan integriti sistem tatatertib yang diwujudkan bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.
Menurutnya, UMS sebagai institusi akademik yang mempunyai Canselor, Pro-Canselor, Lembaga Pengarah Universiti dan pentadbiran tersendiri sudah pasti mempunyai mekanisme dalaman yang mampu menilai sesuatu kes secara profesional dan adil.
“Jika setiap tindakan tatatertib dipersoalkan atas alasan kebebasan bersuara, akhirnya universiti akan berdepan kesukaran untuk mengekalkan disiplin serta menghormati peraturan yang menjadi asas kepada pengurusan kampus.
“Saya percaya pihak UMS tidak membuat keputusan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan fakta, laporan serta peruntukan peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pelajar yang memasuki universiti telah bersetuju untuk mematuhi segala syarat, peraturan dan kod etika institusi berkenaan sepanjang tempoh pengajian mereka.
“Prinsip kedaulatan undang-undang bukan hanya terpakai kepada masyarakat umum, tetapi juga dalam persekitaran universiti. Jika berlaku pelanggaran peraturan, maka tindakan mengikut prosedur adalah sesuatu yang normal dan wajar.
“Apa yang penting ialah memastikan proses tatatertib dilaksanakan secara telus, adil dan memberi hak pembelaan kepada pelajar terbabit. Selagi prinsip itu dipatuhi, tindakan UMS perlu dihormati,” katanya.
Mohd Zaki berkata, masyarakat tidak seharusnya membuat kesimpulan terburu-buru sebelum keseluruhan fakta kes diketahui, sebaliknya memberi ruang kepada pihak universiti menyelesaikan perkara itu mengikut saluran yang ditetapkan.
“Tanggungjawab universiti bukan sahaja melahirkan graduan yang kritis dan berani bersuara, tetapi juga individu yang menghormati undang-undang, prosedur serta etika dalam menyampaikan pandangan mereka,” katanya.
