TAWAU: Penyertaan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) ke dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat sebagai satu perkembangan positif yang mampu memperkukuhkan lagi kedudukan gabungan parti tempatan menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Pemerhati politik Sabah, Mohd. Zaki Harry Susanto, berkata langkah itu menunjukkan kesediaan parti-parti tempatan untuk mengetepikan perbezaan politik demi membentuk kesepakatan yang lebih besar dalam memperjuangkan kepentingan rakyat serta hak Sabah.
Menurutnya, kemasukan UPKO bukan sahaja menambah kekuatan GRS dari segi sokongan politik, malah memperluaskan lagi pengaruh gabungan itu di kawasan yang mempunyai sokongan tradisi parti berkenaan.
“Ini adalah perkembangan yang amat positif kepada landskap politik Sabah. Penyertaan UPKO memberi nilai tambah kepada GRS kerana parti itu mempunyai pengalaman, kepimpinan dan akar umbi yang tersendiri.
“Lebih penting, ia memperlihatkan kesungguhan parti-parti tempatan untuk bersatu di bawah satu platform yang sama demi memastikan agenda pembangunan dan hak-hak Sabah dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Zaki berkata, rakyat Sabah kini semakin cenderung melihat kestabilan politik sebagai keutamaan dan penyatuan lebih banyak parti tempatan di bawah GRS mampu mewujudkan keyakinan terhadap masa depan pentadbiran negeri.
Mengulas keputusan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) meninggalkan GRS, beliau berpandangan tindakan itu tidak akan memberi kesan negatif yang signifikan terhadap gabungan berkenaan.
Katanya, setiap parti mempunyai hak untuk menentukan hala tuju politik masing-masing, namun kekuatan sesebuah gabungan tidak bergantung kepada satu parti semata-mata.
“GRS hari ini mempunyai struktur organisasi yang lebih matang serta disokong beberapa parti komponen yang mempunyai kekuatan tersendiri di pelbagai kawasan.
“Justeru, keputusan USNO untuk keluar daripada GRS tidak dilihat sebagai faktor yang boleh menggugat kestabilan atau menjejaskan momentum gabungan itu secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata, kemasukan UPKO pada masa yang sama mampu mengimbangi persepsi yang timbul susulan pengunduran USNO dan memperlihatkan bahawa GRS terus menjadi platform pilihan parti-parti yang mahu memperjuangkan agenda tempatan.
“Politik sentiasa bersifat dinamik. Apa yang lebih penting ialah kemampuan sesebuah gabungan untuk terus berkembang, menarik sokongan baharu dan mengekalkan fokus terhadap kepentingan rakyat.
“Dalam konteks ini, penyertaan UPKO memberikan isyarat bahawa GRS masih relevan, inklusif dan berupaya menjadi wadah penyatuan politik tempatan di Sabah,” katanya.
