UMS Pimpin Program CBDRM Rentas Sektoral, Tumpu Kesiapsiagaan Bencana Labuan

KOTA KINABALU – Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menganjurkan Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) pada 11 April ini di Dewan Komuniti Kampung Sungai Lada, Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengarah NDRC, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus dalam satu kenyaatan berkata program yang akan berlangsung dari 7.30 pagi hingga 6.00 petang itu bertujuan memperkukuh tahap kesiapsiagaan komuniti setempat dalam menghadapi risiko bencana, khususnya gempa bumi dan tsunami yang berpotensi menjejaskan kawasan pesisir seperti Labuan.

Beliau berkata penganjuran program itu merupakan hasil kerjasama strategik dan rentas sektoral melibatkan pelbagai agensi utama dalam memperkukuh kesiapsiagaan rantau Borneo dalam pengurusan bencana.

“Program ini menghimpunkan kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri dan Perbadanan Labuan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), selain disertai agensi lain seperti MET Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Ihsan Johor,” katanya.

Tambahnya program itu akan diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk taklimat peranan agensi dan komuniti dalam pengurusan bencana, taklimat risiko gempa bumi dan tsunami, serta beberapa latihan simulasi dan pemetaan risiko.

“Antara pengisian utama ialah latihan simulasi tsunami dan gempa bumi, latihan pemetaan risiko bencana, pengenalan pertolongan cemas serta taklimat Pelan Tindakan Operasi (PTO) bencana tsunami,” katanya.

Menurut Carolyn, program tersebut memberi penekanan kepada pendekatan Community-Based Disaster Risk Reduction (CBDRM), yang melatih komuniti sebagai barisan hadapan dalam menghadapi bencana melalui pengetahuan, kemahiran dan tindakan yang tersusun.

“Pendekatan ini penting dalam membina komuniti yang lebih berdaya tahan, selain memperkukuh budaya kesiapsiagaan bencana di peringkat akar umbi serta menyokong agenda nasional dalam pengurangan risiko bencana (DRR),” katanya.

Dalam pada itu, sesi interaktif bersama agensi dan NGO turut diadakan bagi memberi peluang kepada peserta memahami peranan masing-masing dalam pengurusan bencana secara lebih menyeluruh.

Orang ramai khususnya penduduk sekitar Labuan dijemput menyertai program berkenaan bagi meningkatkan kesedaran serta pengetahuan berkaitan pengurusan bencana.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles