KOTA KINABALU: Seramai 65 pemain badminton negeri Sabah telah menerima peralatan sukan sebagai persiapan menghadapi kejohanan Junior Elite Tour 2nd Leg yang akan berlangsung di Terengganu selama enam hari bermula 7 April.
Majlis penyampaian peralatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam memperkukuhkan pembangunan sukan badminton di Sabah, khususnya dalam kalangan pemain muda yang bakal mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.
Kesemua pemain yang terlibat menerima tajaan daripada YOUNG, selaku penaja rasmi Persatuan Badminton Sabah (SBA).
Tajaan ini bertujuan membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan pemain dari segi kelengkapan sebelum menyertai kejohanan.
Datuk Dr Maijol Mahap, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Presiden SBA, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penaja atas komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan badminton negeri.
“Pihak persatuan amat menghargai sokongan yang diberikan oleh YOUNG. Tajaan ini bukan sahaja membantu dari segi persediaan pemain, malah menjadi pemangkin semangat untuk mereka beraksi dengan lebih yakin,” katanya.
Beliau turut berharap agar para pemain Sabah dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan serta mempamerkan prestasi terbaik dalam kejohanan tersebut.
“Kita berharap pemain-pemain ini akan membawa semangat juang tinggi dan seterusnya mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan,” tambah beliau.
Junior Elite Tour merupakan platform penting dalam pembangunan bakat muda badminton negara, sekali gus memberi pendedahan awal kepada pemain untuk bersaing di peringkat yang lebih kompetitif.
Dengan sokongan padu daripada penaja dan pelbagai pihak, SBA yakin kontinjen Sabah mampu memberikan saingan sengit serta mencapai keputusan yang membanggakan dalam kejohanan yang bakal berlangsung.
