KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin hari ini menerima kunjungan hormat daripada pihak Jesselton International Sdn Bhd berhubung pembentangan cadangan projek Kinabalu Cable Car serta laporan kajian kebolehlaksanaannya bagi kawasan Kundasang, Gunung Kinabalu.
Datuk Jafry menegaskan bahawa sebarang cadangan pembangunan yang melibatkan Gunung Kinabalu perlu dinilai secara teliti dan menyeluruh dengan memberi keutamaan kepada prinsip kelestarian alam sekitar serta pemeliharaan warisan semula jadi negeri.
Menurut beliau, Gunung Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO mempunyai nilai biodiversiti dan kepentingan ekologi yang tinggi, justeru sebarang pembangunan perlu mematuhi piawaian ketat termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA) yang komprehensif.
“Kementerian menyokong pembangunan yang membawa manfaat ekonomi dan meningkatkan pengalaman pelancongan, namun ia mesti dilaksanakan secara terkawal dengan mengambil kira kapasiti tampungan serta mengelakkan tekanan berlebihan terhadap ekosistem sensitif,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa di peringkat global, terdapat contoh pembangunan cable car di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang dilaksanakan dengan kawalan ketat dan pendekatan berasaskan pemuliharaan. Antaranya termasuk Skyrail Rainforest Cableway di Wet Tropics of Queensland, Australia, Teleférico del Teide di Teide National Park, Sepanyol, serta Tianzi Mountain Cableway di Zhangjiajie, China (Wulingyuan Scenic Area) yang berfungsi sebagai akses terkawal ke kawasan sensitif.
Selain itu, contoh seperti Table Mountain Aerial Cableway di Afrika Selatan dan Sugarloaf Cable Car di Rio de Janeiro, Brazil menunjukkan bagaimana pembangunan infrastruktur pelancongan boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan nilai biodiversiti dan warisan landskap, dengan penekanan kepada pengurusan pelawat secara terkawal serta impak minimum terhadap alam sekitar.
“Pengalaman antarabangsa menunjukkan bahawa kemudahan seperti ini boleh membantu mengurangkan tekanan aktiviti pendakian, di samping meningkatkan akses pelancongan secara lebih tersusun dan mampan, namun pelaksanaannya mesti berlandaskan sains, kawalan ketat dan prinsip pemuliharaan,” katanya.
Beliau menekankan bahawa pendekatan ‘conservation first’ perlu menjadi asas dalam menilai cadangan projek ini, di samping memastikan tiada gangguan terhadap habitat hidupan liar serta integriti kawasan Taman Kinabalu.
Selain itu, cadangan projek juga perlu mengambil kira kepentingan komuniti tempatan di Kundasang dan Ranau, termasuk peluang ekonomi, penyertaan komuniti serta perlindungan nilai budaya dan spiritual yang berkait rapat dengan Gunung Kinabalu.
Datuk Jafry turut menegaskan kepentingan penggunaan teknologi hijau, reka bentuk mesra alam serta pematuhan kepada amalan terbaik antarabangsa dalam pelancongan mampan.
“Sebarang keputusan berkaitan cadangan ini akan dibuat secara berhati-hati, berasaskan data dan sains, serta melalui libat urus bersama semua agensi berkaitan termasuk Sabah Parks dan pihak berkepentingan lain,” katanya.
Beliau menambah bahawa Kementerian kekal komited untuk memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan aspirasi Sabah sebagai destinasi pelancongan berimpak tinggi dan lestari.
