KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar mengadakan lawatan ke Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) di Bilik Mesyuarat, Wisma LYCH, di sini hari ini.
Lawatan tersebut bertujuan menyantuni warga kerja LPBS di samping beramah mesra dalam usaha mengeratkan hubungan.
Dalam lawatan itu, Jamawi yang juga Pengerusi LPBS turut mempengerusikan mesyuarat dan membincangkan pelbagai agenda berkaitan.
Beliau merakamkan penghargaan atas sambutan yang diberikan serta menasihatkan warga kerja agar terus komited dalam melaksanakan tugas.
Jamawi mensasarkan dalam tempoh 5 tahun ini, sekurang kurangnya 3000 hektar kawasan sawah padi terbiar dapat diusahakan semula yang mana akan dapat melonjakkan Sara Diri Beras Tempatan Sabah (SSL) ke 30 peratus kelak.
“Buat masa ini SSL hanyalah 19 peratus,”katanya.
Tambahnya, ini merupakan satu usaha yang perlu sokongan dan kerjasama semua pihak antara agensi Negeri dan Persekutuan agar segala usaha ini dapat di satupadukan dalam mencapai cita cita tersebut.
Jamawi turut menekankan kepentingan kerjasama dalam kalangan kakitangan dengan saling melengkapi antara satu sama lain, bukannya bersaing.
“Ini ialah prinsip yang saya ketengahkan kepada semua kakitangan dan warga dalam MAFFI,” katanya dalam satu kenyataan media.
Hadir sama Setiausaha Tetap Datuk Jumain Abdul Ghani, Timbalan Setiausaha Tetap I, Awang Dzulkernain Awang Hassan dan Pengurus Besar LPBS Datuk Dr Ramle Haji Kasin.
