BN Sabah hargai penjelasan, ketegasan, komitmen PMX laksana 40 perstus hak Sabah

Oleh JST

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menyambut baik dan menghargai penjelasan terkini Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang sekali lagi menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan hak Sabah menerima 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip dari negeri ini.

Pengarah Strategi dan Komunikasi BN Sabah, Datuk Ir. Aziz Julkarnain berkata, kenyataan tegas Perdana Menteri bahawa hak 40 peratus tersebut adalah “muktamad” dan tidak dipertikaikan memberikan isyarat yang jelas serta meyakinkan kepada rakyat Sabah.

“Selama berdekad-dekad, rakyat Sabah secara konsisten menyuarakan aspirasi agar hak-hak negeri yang dipersetujui di bawah Malaysia Agreement 1963 (MA63) dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya.

“Kenyataan Perdana Menteri yang menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak 40 peratus itu sendiri merupakan perkembangan yang amat positif dan memberi keyakinan bahawa isu yang sekian lama tertangguh ini akhirnya dapat diselesaikan secara konstruktif dan bermakna,” katanya.

Aziz turut menjelaskan kekeliruan yang timbul berhubung tindakan undang-undang oleh Attorney General’s Chambers of Malaysia (AGC) susulan keputusan Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu sebelum ini.

Menurutnya, tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada proses perundangan biasa dan hanya bertujuan mendapatkan penjelasan terhadap beberapa aspek dalam penghakiman, khususnya berkaitan dakwaan kesilapan dalam alasan penghakiman bertulis hakim.

“Seperti yang dijelaskan sendiri oleh Perdana Menteri, tindakan ke mahkamah ini sama sekali bukan untuk mencabar atau mempertikaikan hak Sabah terhadap geran khas 40 peratus.

“Sebaliknya, ia hanya bertujuan mendapatkan penjelasan terhadap beberapa kenyataan dalam penghakiman yang dilihat menyentuh serta mempertikai peranan tokoh-tokoh terdahulu yang banyak berjasa dalam pembentukan negara dan pembangunan Sabah,” katanya.

Beliau berkata penjelasan tersebut penting bagi memastikan rakyat Sabah memahami bahawa komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap hak negeri ini kekal teguh dan tidak berubah.

Pada masa sama, Aziz menyeru semua pemimpin di Sabah tanpa mengira fahaman politik agar melihat perkembangan ini dengan semangat kebersamaan dan tanggungjawab.

“Isu hak Sabah bukan isu politik kepartian. Ia adalah isu masa depan negeri dan kesejahteraan rakyat Sabah secara keseluruhan.

“Oleh itu, semua pemimpin harus meletakkan kepentingan Sabah mengatasi perbezaan politik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar satu platform meja bulat melibatkan pemimpin-pemimpin Sabah diwujudkan bagi membincangkan secara konstruktif mekanisme teknikal pelaksanaan hak 40 peratus tersebut.

“Jika Sabah dapat tampil dengan suara yang bersatu, matang dan konstruktif, ia akan membantu mempercepatkan proses pelaksanaan hak ini serta memastikan aspirasi rakyat Sabah dapat direalisasikan secara adil dan bermaruah,” tambahnya.

Aziz menegaskan bahawa BN Sabah akan terus memainkan peranan secara konstruktif dalam memperkukuhkan kesatuan dalam kalangan pemimpin negeri agar hasil yang menjadi hak Sabah dapat dikembalikan demi pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles