KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) menyambut baik langkah kerajaan Sarawak untuk meneruskan pertambahan kerusi Dewan Undangan Negerinya, yang kini dalam semakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.
Naib Presiden LDP, David Ong berkata, langkah itu mencerminkan komitmen Sarawak untuk memastikan perwakilan yang adil dan berkesan untuk rakyatnya.
Beliau berkata, kerajaan Sabah harus mengikuti contoh itu dan memulakan proses untuk menyemak dan menambah bilangan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Menurunya, kali terakhir Sabah melaksanakan persempadanan semula pada 2017, apabila bilangan kerusi negeri ditambah daripada 60 kepada 73.
David berkata,di bawah Perlembagaan Persekutuan, proses persempadanan semula baharu boleh dijalankan selepas lapan tahun, bermakna Sabah kini layak untuk memulakan proses itu semula. “Oleh itu tidak ada sebab untuk menangguhkan,” tegasnya.
Katanya, selama bertahun-tahun, banyak kawasan pilihan raya di Sabah telah berkembang dengan ketara dalam populasi pengundi.
“Beberapa kerusi kini mempunyai bilangan pengundi yang sangat ramai, menjadikannya semakin sukar bagi wakil rakyat untuk berkhidmat dengan berkesan kepada masyarakat mereka,” katanya.
Katanya, menambah bilangan kerusi DUN akan membantu memastikan saiz kawasan pilihan raya yang lebih seimbang dan perwakilan yang lebih baik untuk rakyat.
“Sama pentingnya ialah keperluan menambah kerusi parlimen bagi Sabah dan Sarawak, Pada masa ini, jumlah kerusi yang disandang oleh kedua-dua negeri Borneo itu tidak menggambarkan semangat asal pembentukan Malaysia.,” tambahnya.
David juga berkata, meningkatkan perwakilan parlimen adalah penting supaya Sabah dan Sarawak boleh bergerak lebih dekat untuk mencapai satu pertiga perwakilan di Parlimen Malaysia, yang akan membolehkan kedua-dua negeri menggunakan kuasa veto yang bermakna ke atas perkara perlembagaan yang menjejaskan hak mereka.
“Prinsip ini berkait rapat dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963, yang membayangkan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama dalam persekutuan.
Oleh itu, Kerajaan Persekutuan harus menunjukkan keikhlasannya dalam menangani kebimbangan lama mengenai perwakilan dengan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dan kerajaan Sabah untuk memudahkan proses ini,” katanya.
David berkata, Sabah mesti mengambil inisiatif sekarang. Mengkaji dan menambah kedua-dua kerusi DUN dan parlimen bukan semata-mata tentang bilangan. Ia adalah mengenai memastikan rakyat Sabah mempunyai perwakilan yang adil dan suara yang lebih kuat dalam tadbir urus negara.
