KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan tidak dapat mengemukakan perincian jumlah pungutan hasil yang diperoleh dari negeri Sabah buat masa ini bagi mengelakkan ia mengganggu perkara yang sedang dipertimbangkan dalam rundingan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah.
Menurut Kementerian Kewangan, ini adalah susulan keputusan kes mahkamah dalam kes Sabah Law Society v. The Government of the Federation of Malaysia, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Rundingan antara kedua-dua pihak telah dimulakan bagi memperhalusi peruntukan berhubung pemberian khas kepada negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Kementerian itu berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan dalam laman sesawang Parlimen, hari ini.
Kementerian Kewangan menjawab soalan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran) yang ingin tahu jenis-jenis yang dipungut oleh kerajaan Persekutuan dari Sabah, dan jumlah pungutan setiap tahun bagi tempoh 2020-2025.
Kementerian Kewangan menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan menerima hasil cukai langsung dan cukai tidak langsung yang masing-masing dikutip oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Cukai langsung itu merangkumi cukai pendapatan syarikat dan individu, cukai pendapatan petroleum, cukai keuntungan modal, cukai keuntungan harta tanah dan duti setem.
Cukai tidak langsung pula terdiri daripada duti import, duti eksport, duti eksais, cukai jualan, cukai perkhidmatan, cukai pelancongan, duti hiburan, levi keuntungan luar biasa, levi kenderaan barang-barang dan levi pelepasan.
Kementerian Kewangan berkata selaras dengan maksud Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan, hasil kutipan cukai langsung dan cukai tidak langsung perlu dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan (KWDP), melainkan duti hiburan yang merupakan salah satu sumber hasil yang diserahhakkan kepada Kerajaan Negeri seperti termaktub di bawah Bahagian III, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan.
Hasil cukai pelancongan juga dimasukkan ke dalam KWDP, namun 50% daripada kutipan cukai pelancongan di setiap negeri disalurkan semula kepada Kerajaan Negeri bagi tujuan promosi dan kempen pelancongan, menambah baik infrastruktur serta perkhidmatan pelancongan.
