Sandakan perlu jeti pelancongan baharu  – Vivian Wong

SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan,Vivian Wong Shir Yee berkata, Sandakan amat memerlukan pembinaan sebuah jeti pelancongan baharu bagi memudahkan pergerakan pelancong ke pulau-pulau peranginan di sekitar Sandakan.

Beliau berkata, ketika ini, ramai pelancong yang pergi ke pusat peranginan di pulau-pulau sekitar Sandakan terpaksa menaiki bot dari jeti berhampiran Pasar Pusat Bandar atau di sebelah Pejabat Pos. 

Jelasnya, ditambah dengan pengurusan jeti yang bersifat eksklusif, keadaan ini juga menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan pelancong.

Menurut beliau, Sandakan mempunyai potensi besar dalam bidang eko pelancongan, warisan sejarah dan budaya serta biodiversiti. 

Justeru, kerajaan perlu mempertimbangkan secara serius cadangan pembinaan jeti pelancongan baharu di Sandakan.

Ini di tambah lagi dengan pembukaan semula bekas Hotel Four Points by Sheraton yang kini di kenali sebagai Hotel Ormond, sebuah rangkaian hotel terkemuka di ibu negara dan bakal beroperasi tidak lama lagi di pusat bandar ini serta perancangan pembangunan pusat  pelancongan baharu di Pulau Berhala. 

Vivian Wong berkata demikian ketika  perbahasan Titah Diraja Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi tahun 2026 di Dewan Rakyat.

Beliau juga menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur asas di Sandakan tidak boleh terus dipinggirkan dan memerlukan perhatian serta tindakan yang lebih serius daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, ketika para pelabur melihat potensi pembangunan Sandakan dan sanggup melaburkan modal di kawasan ini, kerajaan juga perlu memainkan peranan dengan bergerak seiring, memperkukuh dan melengkapkan kemudahan infrastruktur di Sandakan agar lebih ramai pelabur dapat ditarik untuk melabur di sini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles