JAKARTA: Sekumpulan wartawan Malaysia tiba di sini semalam dalam rangka kunjungan sempena sambutan Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia yang diadakan di Kota Serang, Banten.
Sambutan yang sudah bermula sejak seminggu lalu akan dirasmikan kemuncaknya oleh Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Hotel Aston Serang pada Isnin (9 Februari).
Lebih 1,500 wartawan dari seluruh Indonesia sudah berkampung di Kota Serang sejak beberapa hari lalu.
Sambutan HPN 2026 mengangkat tema `Pers Sehat, Ekonomi Berdaulat, Bangsa Kuat’.
Delegasi wartawan Malaysia seramai 20 orang diketuai oleh Pemangku Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.
Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah merangkap Ahli Majlis Pentadbir ISWAMI Malaysia, Datuk Lichong Angkui, merupakan wakil tunggal dari Negeri Sabah.
Seorang lagi Ahli Majlis Pentadbir ISWAMI Malaysia, Datuk Dr Jeniri Amir, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tribune dan Suara Sarawak, mengetuai delegasi sembilan media dari Bumi Kenyalang.
Selain menghadiri acara sambutan HPN 2026, delegasi ISWAMI Malaysia turut mengadakan majlis makan siang dan dialog dengan rakan sejawatan dari Indonesia.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dijadual menghadiri majlis berkenaan.
