SANDAKAN: Keadaan semasa struktur konkrit bahagian bawah paip air di kawasan Taman Mutiara, Batu 3½ Jalan Utara, di sini dikhuatiri tidak lagi mampu menampung beban hakisan tanah sekaligus menimbulkan risiko runtuhan lanjutan serta kebimbangan keselamatan penduduk.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata, masalah hakisan tanah di bawah paip air berkenaan, jika tidak ditangani dan dibaiki segera, ia boleh menjejaskan kestabilan sistem bekalan air serta membahayakan keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya di sekitarnya.
Justeru, isu ini tidak boleh dibiarkan berlarutan.
Jelasnya, ahli pasukan aduan Pejabat Parlimen Sandakan diketuai Lee Yong Wei juga telah pergi ke lokasi bagi meninjau keadaan sebenar serta membantu menyediakan laporan lengkap kepada jabatan berkaitan perkara itu.
Manakala tindakan susulan juga telah segera diambil oleh pihaknya dan menggesa pihak berkaitan agar menangani isu tersebut secepat mungkin bagi mengelak masalah sama berulang.
Vivian memaklumkan bahawa pihaknya juga telah menghubungi Jabatan Air, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta unit teknikal cerun berkaitan untuk menjalankan penilaian bersama dengan segera bagi mengenal pasti punca hakisan tanah dan melaksanakan langkah pembaikan serta pengukuhan yang bersesuaian bagi menyelesaikan masalah secara menyeluruh.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Vivian menegaskan bahawa keselamatan infrastruktur itu juta melibatkan kepentingan rakyat.
“Justeru kerja-kerja pembaikan mesti dilaksanakan dengan mengambil kira kualiti pembinaan dan keselamatan jangka panjang agar masalah sama tidak berulang.” Jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Pejabat Parlimen Sandakan akan terus memantau perkembangan lanjut dan akan terus menyelaras dengan jabatan berkaitan sekiranya perlu sehingga isu ini diselesaikan sepenuhnya.
