ADUN Elopura santuni penjaja, pemborong pasar Dinihari

 

SANDAKAN: Calvin Chong Ket Kiun ADUN N55 Elopura menghadiri satu taklimat serta sesi libat urus bersama para penjaja dan pemborong Pasar Dinihari berhubung cadangan pemindahan mereka ke Pasar Borong Bandar Ramai-Ramai di sini pada Rabu.

Sesi ini amat penting sebagai platform untuk mendengar secara langsung pandangan, kebimbangan dan cadangan para peniaga, agar sebarang keputusan yang dibuat adalah adil, tersusun dan tidak menjejaskan sumber rezeki rakyat.

Beliau ingin menegaskan dengan jelas bahawa isu ini bukan isu politik, sebaliknya ia adalah suara rakyat yang wajib dibela. Sebagai wakil rakyat, tanggungjawab beliau adalah memastikan setiap dasar dan tindakan pihak berkuasa mengambil kira realiti kehidupan penjaja kecil yang bergantung sepenuhnya kepada pasar ini untuk kelangsungan hidup.

ADUN Elopura sememangnya menyokong pembangunan ekonomi Sandakan dan sebarang usaha untuk memperkasa aktiviti perdagangan di bandar ini. Namun begitu, pembangunan tersebut tidak seharusnya dilaksanakan secara berat sebelah atau mengorbankan punca rezeki peniaga kecil demi mengejar pembangunan semata-mata.

Pembangunan yang baik adalah pembangunan yang seimbang dan inklusif, yang tidak meminggirkan rakyat.

Dalam sesi libat urus ini, para penjaja menyuarakan kebimbangan besar terhadap cadangan pemindahan ke Pasar Borong Bandar Ramai-Ramai. Kebimbangan ini berasas kerana mereka mempunyai pengalaman lalu sebelum ini mereka pernah dipindahkan sebanyak dua kali, namun tiada kemasukan pelanggan di lokasi baharu. Akhirnya, mereka terpaksa kembali berniaga di Pasar Umum kerana pendapatan di sana lebih stabil dan membolehkan mereka terus bertahan serta menyara keluarga.

Justeru, beliau berpandangan bahawa Pasar Dinihari masih boleh dikekalkan, sekiranya satu operator atau pengurusan yang berwibawa dan tegas dilantik untuk menguruskan pasar tersebut. Pengurusan ini perlu memastikan:

-Kebersihan pasar sentiasa terjaga

-Waktu berniaga dipatuhi

-Masalah kesesakan lalu lintas ditangani  dengan berkesan

-Disiplin peniaga dipantau dan dikuatkuasakan secara konsisten

Pada masa yang sama, Pasar Borong Bandar Ramai-Ramai wajar terus dibuka sebagai pilihan dan peluang kepada peniaga baharu atau peniaga yang bersedia berpindah, bukannya sebagai pemindahan wajib yang boleh menjejaskan kelangsungan pendapatan penjaja sedia ada.

Sebarang proses pemindahan tidak wajar dilakukan secara tergesa-gesa, tanpa kajian menyeluruh, perbincangan telus serta persetujuan bersama. Penjaja perlu diberikan jaminan jelas dari segi aliran pelanggan, kemudahan, kos operasi dan kebolehlaksanaan perniagaan di lokasi baharu.

Ujar beliau, “saya akan terus bersuara dan mempertahankan hak penjaja Pasar Dinihari, memastikan kebajikan mereka terus terbela dan setiap keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan kepentingan rakyat. Ini adalah amanah saya sebagai wakil rakyat untuk berdiri bersama rakyat dan memperjuangkan suara mereka.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles